Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain telah mengesahkan bahawa pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin sedang disiasat ekoran mengeluarkan fatwa mengharamkan pengundi yang akan mengundi calon Pulai, Suhaizan Kaiat.
“Ya kita ada terima satu laporan polis dan kita sudah buat siasatan. “Kita akan panggil beliau (Muhyiddin) dalam masa terdekat,” katanya, lapor Berita Harian.
Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Seksyen 505(b) menjenayahkan kenyataan yang menyebabkan ketakutan dan kegentaran awam.
Ucapan Mahiaddin juga tular dalam media sosial.
“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.
“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” kata Mahiaddin dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru, kelmarin.