KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan setakat ini tidak menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas secara langsung akibat serangan di Yala, Narathiwat dan Pattani awal pagi tadi.
Kementerian dalam satu kenyataan, berkata rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan kawasan yang mempunyai kawalan keselamatan yang dipertingkatkan.
Pada masa sama, mereka juga disaran mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi.
“Rakyat Malaysia juga digalakkan untuk mendaftarkan kehadiran mereka bagi memudahkan komunikasi dan bantuan dapat disalurkan dengan segera jika diperlukan.
“Kementerian akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” katanya.
Media hari ini, melaporkan 11 stesen minyak di tiga wilayah selatan Thailand, iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat digegarkan dengan letupan bom yang berlaku secara serentak pada awal pagi tadi.
Sumber Perintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), berkata serangan bom yang berlaku kira-kira jam 1.04 pagi itu membabitkan lima stesen minyak PPT di Narathiwat, empat di Yala dan dua lagi stesen minyak di Pattani.
Pihak berkuasa percaya serangan terhadap semua stesen minyak itu membabitkan lebih 50 anggota kumpulan pemberontak yang lengkap bersenjata api.
Kementerian Luar berkata, rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +(66) 74 316 274/ +(66) 81 990 1930/ +(66) 74 324 004 dan +(66) 74 312 353 atau emel mwsongkhla@kln.gov.my.-BH Online
