KUALA LUMPUR, 11 Januari– Rapid Bus Sdn. Bhd. akan melaksanakan fasa pertama penstrukturan semula beberapa laluan bas terpilih di Lembah Klang bermula 16 Januari ini.
Langkah itu sebagai usaha meningkatkan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan bas awam.
Rapid Bus dalam kenyataan berkata penstrukturan itu melibatkan 16 laluan bas perantara MRT serta tiga laluan bas Rapid KL yang akan ditukar sepenuhnya kepada perkhidmatan Rapid KL On-Demand, berdasarkan jumlah penumpang harian yang rendah serta kewujudan alternatif perkhidmatan sedia ada.
“Secara keseluruhan, laluan terlibat hanya merangkumi tujuh peratus daripada 281 laluan bas di bawah kendalian Rapid KL, termasuk laluan bas perantara MRT dan LRT,” kata kenyataan itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata penstrukturan itu dibuat berdasarkan dapatan Demand-Led Bus Network Study, iaitu kajian rangkaian bas berasaskan data penggunaan sebenar penumpang yang dijalankan sejak pertengahan 2024.
Tambahnya, hasil kajian itu membolehkan pelarasan laluan dan kekerapan perkhidmatan dilakukan agar lebih sejajar dengan keperluan semasa pengguna, di samping mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan.
“Akses perkhidmatan untuk pengguna sedia ada, katanya, kekal terjamin melalui sokongan Rapid KL On-Demand, yang boleh ditempah menerusi aplikasi Rapid On-Demand di Google Play dan Apple App Store,” jelas kenyataan itu.
Pengguna juga masih boleh meneruskan perjalanan harian mereka melalui rangkaian perkhidmatan sedia ada mengikut keperluan masing-masing.-BH Online
