KOTA BHARU, 11 Januari – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam proses menambah keanggotaan bagi memperkukuh operasi membanteras penyeludupan dan pengedaran dadah, khususnya di negeri sempadan.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penambahan itu akan melibatkan Kelantan, Kedah dan Perlis bagi memantapkan operasi penguatkuasaan.
Beliau berkata sepanjang tahun lalu, 62 kes penyeludupan dadah berskala besar berjaya ditumpaskan di tiga negeri berkenaan.
Daripada jumlah itu, 15 kes atau 25 peratus dikesan melalui Kelantan.
“Dalam tindakan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri) untuk membantu PDRM (Polis Diraja Malaysia) menambah kekuatan, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di negeri lain, dengan penambahan pegawai dan anggota, akan memantapkan lagi jabatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata sindiket dadah terus licik dan sering menukar modus operandi untuk membawa masuk bekalan terlarang.
Bagaimanapun, polis terus komited membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah demi keselamatan negara serta kesejahteraan masyarakat.-Berita RTM
