Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) diingatkan supaya sentiasa berpegang kepada ikrar “Berkhidmat Memimpin” yang menjadi tunjang institusi itu dalam melahirkan bakal pemimpin negara berteraskan amanah dan tanggungjawab.

Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain, berkata sebagai bakal pemimpin, pelajar MTD perlu mendahulukan khidmat sebelum kepentingan diri, selaras dengan falsafah kepimpinan yang diterapkan di MTD.

“Kepimpinan bukan tentang kuasa tetapi tentang amanah, bukan tentang pangkat tetapi tentang tanggungjawab

“Sebagai bakal pemimpin, anda perlu menghayati nilai integriti, keberanian dan kecekapan serta kepemimpinan pada hari ini menuntut bukan sahaja kecemerlangan akademik tetapi juga kepekaan terhadap isu sosial, kebajikan rakyat dan cabaran global pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Tahunan MTD 2026 yang disertai 361 pelajar di Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Zulhelmy turut menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik, sukan dan ketenteraan terdiri daripada Wan Aqlan Muqree Wan Azizi yang meraih Anugerah Lembaga Tadbir, Muhammad A’lim Uzair Mohd Khairi (Anugerah Pengarah Pengajian), Rayyan Haqeem Khairul Azmizal (Anugerah Komandan) dan Hazmi Aniq Mohd Asri menerima Anugerah Menteri Pertahanan. – BERNAMA