KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kewujudan budaya ‘yeye’ yang terkait dengan kegiatan tidak bermoral seperti yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan, hari ini berkata isu yang tular itu jelas menimbulkan pelbagai persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan itu.
Menurut kenyataan itu, kepimpinan baharu TDM memandang serius isu ini dan tidak akan berkompromi dengan salah laku warganya sama ada pegawai atau anggota yang didapati terlibat secara langsung atau tidak langsung.
“TDM akan menjalankan siasatan dalaman terhadap aduan yang diterima dan tindakan tegas terhadap pelaku akan diambil mengikut peraturan perkhidmatan dan undang-undang sedia ada jika terbukti bersalah.
“Memandang ke hadapan, TDM akan mengadakan penguatkuasaan berterusan melalui pemerintah di semua pasukan, formasi dan pusat latihan,” katanya.
Kenal pasti langkah pencegahan jangka panjang
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan penguatkuasaan berterusan itu sebagai peringatan dari semasa ke semasa serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi membendung sebarang isu integriti dan aktiviti tidak bermoral di kalangan warganya.
“Sebagai langkah pencegahan, TDM juga akan melaksanakan pemerkasaan pendidikan moral, kesedaran integriti dan etika di semua peringkat formasi selain mempergiatkan aktiviti keagamaan dan kerohanian bagi memupuk nilai profesional serta jati diri warga yang berdisiplin dan berintegriti.
“Kepimpinan TDM kekal komited untuk memastikan institusi ini terus diyakini, dihormati dan disokong oleh rakyat melalui amalan integriti, profesionalisme yang tinggi demi keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.-BH Online
