Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Naib pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali menyifatkan kenyataan pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin bahawa undi undi calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kayat sebagai melampau, amat jahat dan menyemarakkan budaya takfiri.

“Bagi saya, ini adalah satu kenyataan yang melampau dan amat jahat. Namun ia bukan sesuatu yang pelik kerana Pengerusi Perikatan Nasional itu juga sudah melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat satu ketika dulu,” kata Sheikh Umar yang juga adalah ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

“Yang saya lebih bimbang ialah, politik melabel halal dan haram seperti ini akan menyemarakkan lagi budaya ‘takfiri’. Sedangkan politik ialah soal ijtihadi.

Malam tadi, Mahiaddin dipetik berkata: “Jangan beri satu undi pun kepada Suhaizan, bekas speaker. Saya isytiharkannya haram.

“Esok ada orang akan mencabar saya ini berdasarkan fatwa mana,” kata Mahiaddin, petik media.

Sheikh Umar menyoal sama ada para pengundi PH-BN telah berdosa berdasarkan kenyataan Mahiaddin.

Beliau menambah kenyataan Mahiaddin boleh menyebabkan pertumbuhan ekstremisme di negara kita.

“Implikasi tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin adalah sangat berbahaya. Ia boleh membenihkan ekstrimisme dalam negara kita. Ini boleh membantutkan perpaduan rakyat, meruntuhkan demokrasi dan menggugat kekuatan ekonomi Malaysia.

Beliau turut mengingatkan pembangkang bahawa kenyataan Mahiaddin bercanggah dengan titah Yang Di – Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah yang tidak mahu agama dijadikan polemik dalam politik.