Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 31 Disember– Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) mencatat pencapaian membanggakan apabila diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai stadium bertaraf Cemerlang.

Pengiktirafan itu dikongsikan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menerusi hantaran di platform rasmi mereka selepas padang SNBJ dinilai di bawah Program Kualiti Permukaan Bermain Semulajadi FIFA.

Penilaian melibatkan aspek kualiti, keselamatan dan prestasi, dengan padang SNBJ memperoleh markah 86 peratus, sekali gus menerima penarafan Cemerlang.

Menurut PSM, pengurusan serta penyelenggaraan padang dilaksanakan secara profesional bagi memastikan kesediaannya untuk kegunaan sukan dan penganjuran acara bertaraf antarabangsa.

Sejak beberapa tahun lalu, keadaan padang SNBJ sering menjadi kritikan peminat dan pasukan bertanding, sebelum beberapa langkah penambahbaikan dilakukan termasuk penukaran rumput berkualiti tinggi serta naik taraf sistem saliran.

SNBJ bukan sahaja menjadi gelanggang utama skuad Harimau Malaya, malah kerap menjadi venue perlawanan akhir Piala Malaysia dan Piala FA.-Berita RTM