KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka tempoh khas bagi permohonan kuota penggajian pekerja asing untuk tahun 2025 bermula 19 Januari hingga 31 Mac 2026.
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa permohonan masih boleh dikemukakan sehingga tarikh akhir asal yang ditetapkan sebelum ini, iaitu 31 Disember 2025.
Menurut kenyataan itu, tempoh khas berkenaan dibuka untuk permohonan melibatkan semua sektor dan subsektor yang telah diluluskan Kerajaan pada 1 Oktober 2025 serta mematuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan.
“Ia turut meliputi permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sebelum ini ditutup lebih awal,” jelas kementerian itu.
KDN menambah semua permohonan yang diterima sepanjang tempoh khas berkenaan akan dibincangkan bersama kementerian penyelia berkaitan untuk pertimbangan, tertakluk kepada syarat-syarat penggajian pekerja asing yang ditetapkan.
Sehubungan itu, KDN mengingatkan semua majikan supaya mengemukakan permohonan secara terus tanpa menggunakan perkhidmatan ejen atau pihak ketiga di Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing (OSCM), KDN.
Bagi melancarkan urusan permohonan sepanjang tempoh khas tersebut, majikan perlu membuat janji temu terlebih dahulu melalui laman sesawang rasmi KDN bermula 16 Januari 2026.
“Kemudahan tempoh khas ini diharap dapat membantu majikan mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing secara lebih teratur dan terancang,” kata KDN.
KDN menjelaskan, langkah berkenaan selaras dengan iltizam Kerajaan MADANI untuk terus peka terhadap keperluan industri serta komitmen meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.-Astro Awani
