Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menggagalkan cubaan pengedaran rokok dan minuman keras tidak berkastam bernilai RM3.7 juta bagi empat kes antara 27 November hingga 1 Disember lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman, berkata daripada empat kes berasingan itu, masing-masing dua kes di Kedah, manakala satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor.

Beliau berkata, bagi kes pertama, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Stesen Kuantan melakukan serbuan di sebuah kediaman tidak berpenghuni di Padang Serai, Kedah pada kira-kira jam 2 pagi, 27 November lalu dan menemukan 412,754 batang rokok pelbagai jenis serta jenama disyaki barang larangan import dianggarkan bernilai RM41,029 manakala jumlah duti dan cukai kira-kira RM276,520.

“Kes kedua pula di sebuah ladang sawit di Padang Serai, Kedah pada jam 4 pagi 27 November lalu dengan penemuan 622,000 batang rokok pelbagai jenis dan jenama disyaki barang larangan import bernilai RM70,280.

“Jumlah duti dan cukai terbabit bagi kes ini dianggarkan RM417,548,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, Indera Mahkota, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes ketiga pula membabitkan rampasan 564,090 batang rokok dan 1,197.98 liter minuman keras di sebuah kediaman tidak berpenghuni di Rompin, Negeri Sembilan pada jam 6.30 petang, 29 November lalu.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan RM68,084 manakala jumlah duti dan cukai berjumlah RM407,434.

“Kes keempat di sebuah gudang syarikat penghantaran di Puchong, Selangor pada jam 5.30 petang 1 Disember lalu, apabila merampas 3.06 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM244,800 manakala jumlah duti dan cukai bagi kes ini RM2,178,720.

“Modus operandi dilakukan ialah menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran untuk pengedaran rokok tidak berkastam,” katanya.

Mohd Asri berkata, tiada tangkapan dilakukan dan empat kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar serta tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.-BH Online