KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh komitmen dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk melalui pembangunan kapasiti, latihan kepakaran serta agenda Women, Peace and Security (WPS).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata komitmen itu dizahirkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Setiausaha Agung untuk Operasi Keamanan PBB Jean-Pierre Lacroix yang kini berada di Malaysia dalam siri lawatan ke rantau Asia.
“Dalam pertemuan ini, PBB menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia dalam misi pengaman dengan penglibatan lebih 40,000 anggota dalam lebih 38 misi di seluruh dunia sejak 1960,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohamed Khaled berkata perbincangan turut tertumpu kepada peranan dan sumbangan yang boleh dimainkan Malaysia dalam menjayakan hala tuju masa depan operasi pengaman PBB, selaras dengan aku janji negara dalam penganjuran latihan serta pembangunan kapasiti, khususnya bidang Explosive Ordnance Disposal (EOD) dan Mobile Training Teams (MTT).
Beliau berkata Malaysia juga komited memastikan Pusat Pengaman Malaysia (MPC) terus berperanan sebagai pusat latihan bertauliah PBB bagi pelbagai program dan aktiviti pembangunan kapasiti, selain memperkukuh komitmen negara terhadap agenda WPS.
“Saya juga menekankan kepentingan agar keselamatan dan kebajikan anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 di selatan Lubnan terus diberi perhatian serius oleh pihak PBB, selain memastikan urusan penarikan balik batalion terakhir MALBATT 850-13 di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilaksanakan dengan sempurna dan teratur,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Panglima Angkatan Tentera Jen Datuk Seri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Angkatan Bersama Lt Jen Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.– BERNAMA
