Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NILAI, 29 Disember – Inisiatif Jualan Rahmah MADANI terus membantu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.

Di Negeri Sembilan, program ‘Kembali Ke Sekolah’ menawarkan pelbagai kelengkapan persekolahan, termasuk pakaian sekolah, pada harga berpatutan, sekali gus memberi kelegaan kepada ibu bapa. Tinjauan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di lokasi penganjuran ‘NS FEST 2025’ di Dataran Nilai mendapati sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan.

Penjawat awam, Mohd Hariri Mohamad Daud, berkata program itu sangat membantu ibu bapa.

“Alhamdulillah, satu program yang sangat baik untuk meringankan beban ibu bapa bagi anak-anak. Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan dan memberi manfaat kepada semua, ” katanya.

Bagi suri rumah, Noor Zaineis Ayop, jualan itu membolehkan mereka menjimatkan perbelanjaan.

“Dengan potongan harga Jualan Rahmah ini, kami dapat membeli kelengkapan sekolah dengan lebih jimat.”

Seorang lagi penjawat awam, Fatin Farah Izzati Masaat, pula menyifatkan program berkenaan sebagai sangat membantu dalam situasi ekonomi semasa.

“Perasaan saya bersyukur kerana jualan murah seperti ini sangat diperlukan. Barang mahal sekarang, jadi Jualan Rahmah sangat membantu menjelang sesi persekolahan.”

“Saya berharap program ini dapat diteruskan. Sebelum ini ada jualan barang dapur, kini ‘Kembali Ke Sekolah’ pula. Ia sangat membantu dan harap dapat diteruskan,” kata suri rumah, Syidah Mohamed.

Sementara itu, pelajar sekolah, Nur Ain Mohd Zaidi, pula berkata jualan itu memudahkan mereka mendapatkan pakaian sekolah.

“Jualan Rahmah hari ini banyak pilihan dan sangat membantu kami adik-beradik membeli baju sekolah.”

Program Jualan Rahmah ‘Kembali Ke Sekolah’ ini berlangsung sehingga 31 Disember 2025 di Dataran Nilai, Negeri Sembilan.-Berita RTM