TANGKAK: Jambatan Sungai Rambai menghubungkan Kesang dan Tangkak di sebelah Johor serta Sungai Rambai di Melaka yang menjadi laluan utama orang ramai berulang alik dari Melaka ke Muar, ditutup kepada semua kenderaan susulan keretakan pada tiang, dipercayai akibat rempuhan sisa pokok yang dibawa arus deras.
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Ir Mohamad Fazli Salleh, berkata penutupan jambatan sepanjang 48 meter di sempadan Johor-Melaka itu berkuat kuasa hari ini selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati ia tidak selamat digunakan.
“JKR mendapati struktur tiang jambatan itu rosak dan tidak selamat, berkemungkinan disebabkan arus air sungai yang deras. Selain itu, tiang jambatan itu juga dirempuh sisa pokok hanyut serta kemungkinan struktur tanah dasar sungai yang terhakis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan penutupan jambatan itu, semua kenderaan diminta menggunakan Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) sebagai laluan alternatif dan tindakan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Penduduk, Imran Salleh, 45, berkata penutupan jambatan terbabit dimaklumkan pada jam 10.30 pagi tadi selepas didapati berlaku keretakan.
“Jambatan itu menjadi laluan penting penduduk di Tangkak, Muar dan Sungai Rambai yang berulang-alik setiap hari. Kejadian retakan disedari selepas video tular di media sosial. Ia disebabkan hujan sejak beberapa hari lalu yang menyebabkan arus membawa pokok dan sebagainya merempuh tiang,” katanya.-BH Online
