PASIR MAS, 28 Disember – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelancaran pergerakan keluar masuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang bersempena cuti persekolahan.
Timbalan Komander AKPS Rantau Panjang Bakri Sulaiman berkata jumlah kenderaan di laluan utama menuju ICQS Rantau Panjang meningkat, khususnya dari 9 pagi hingga 2 petang.
Beliau berkata bagi mengurangkan kesesakan, AKPS bersama-sama agensi berkaitan menambah petugas di kaunter pemeriksaan dan mengaktifkan pelan pengurusan trafik di kawasan sekitar pintu sempadan supaya proses pemeriksaan lebih lancar.
“Saya menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal, memastikan dokumen perjalanan lengkap dan sah serta sentiasa mematuhi arahan petugas keselamatan bagi mengelakkan kelewatan,” katanya kepada Bernama.
Bakri juga meminta orang ramai bersabar memandangkan peningkatan pergerakan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, tinjauan di ICQS Rantau Panjang mendapati jumlah kenderaan dan pejalan kaki meningkat menyebabkan aliran trafik perlahan di laluan utama ke kawasan pemeriksaan dengan petugas keselamatan ditempatkan di persimpangan dan laluan masuk untuk melancarkan pergerakan.
Kaunter pemeriksaan pasport beroperasi lancar dan sistematik bagi mempercepat proses keluar masuk, dan walaupun barisan panjang, pergerakan pengguna masih terkawal.
Pengunjung Mohd Zulfaizan Jaafar, 35, berkata, membuat perancangan awal dengan rakan termasuk menempah penginapan berhampiran, antara langkah diambil bagi mengelakkan kesulitan ketika melalui pemeriksaan di pintu sempadan.
Perancangan itu katanya membolehkan mereka mengurus perjalanan lebih teratur walaupun perlu berdepan peningkatan pengguna di kawasan itu.
Sementara itu menurut Lee Chong Chong, 45, walaupun barisan kenderaan menunggu giliran panjang namun kehadiran petugas tambahan di kaunter pemeriksaan serta pengurusan trafik yang sistematik membantu melancarkan pergerakan keluar masuk sempadan.
Lee juga berkata arahan jelas petugas keselamatan turut memudahkan pengguna memahami laluan perlu dilalui, sekali gus mengurangkan kekeliruan dan kelewatan.- BERNAMA
