RANTAU PANJANG, 28 Disember – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas lebih 1.14 juta batang rokok seludup bernilai hampir RM1 juta.
Ia susulan serbuan ke atas sebuah rumah kampung yang dijadikan gudang transit di Kampung Pasir Panji, Tanah Merah, pada 7 Disember lalu.
Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menyatakan serbuan dilakukan hasil risikan dan intipan selama hampir dua minggu oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah premis tidak bernombor menemukan 178,500 bungkus rokok seludup dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM178,500, manakala duti dan cukai terlibat dianggarkan RM771,570, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan termasuk duti dan cukai sebanyak RM950,070,” katanya pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Rantau Panjang.
Tambahnya, rokok berkenaan dipercayai termasuk satu jenama baharu dalam pasaran gelap serta didapati menggunakan setem cukai palsu dan maklumat syarikat tidak sah pada kotak pembungkusan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Wan Jamal menegaskan aktiviti penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.-Berita RTM
