Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Reformasi Kesihatan MADANI digerakkan melalui lima Kluster Strategik bagi memperkukuh perkhidmatan dan membina persekitaran kerja yang adil untuk petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyoroti tempoh dua tahun pelaksanaan reformasi itu, berkata langkah ini adalah pembetulan asas bagi memastikan sistem kesihatan negara benar-benar bersedia dan berfokus menghadapi masa depan.

Beliau berkata, ia susulan pelbagai cabaran struktur termasuk pembiayaan kesihatan, kesesakan fasiliti, beban penyakit tidak berjangkit (NCDs) dan keletihan tenaga kerja yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kita sedang mengubah fokus daripada ‘sick-care’ kepada ‘health-care’ yang berteraskan pencegahan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dzulkefly berkata, kluster pertama membabitkan reformasi institusi dan tadbir urus dengan tumpuan memperkemas ekosistem Kementerian Kesihatan (KKM) supaya lebih fokus, jelas fungsi dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, penubuhan entiti strategik seperti Bahagian Kesihatan Digital dan Pusat Keselamatan Makanan Negara (NCFS) adalah langkah ke hadapan untuk memperkukuh kapasiti institusi, memperjelas akauntabiliti dan mempercepat pelaksanaan dasar.

Katanya, bagi kluster kedua iaitu reformasi penyampaian perkhidmatan kesihatan, KKM sedang mengubah cara perkhidmatan disampaikan dengan mengoptimumkan kapasiti sedia ada dan memodenkan fasiliti.

“Walaupun integrasi sistem data pelbagai adalah cabaran teknikal besar, kita kekal komited melaksanakan pendigitalan rekod perubatan (EMR) dan sistem janji temu digital sebagai teras pemodenan perkhidmatan,” katanya.

Matlamat reformasi ini untuk mengurangkan tekanan di hospital yang sesak dan membawa perkhidmatan kesihatan lebih cekap, moden serta manusiawi terus kepada rakyat.

Kluster ketiga membabitkan reformasi sumber manusia kesihatan dengan KKM melaksanakan pembetulan struktur termasuk pindaan Akta Perubatan 1971 serta pelaksanaan lantikan tetap terbesar dalam sejarah terkini sektor kesihatan.

“Ini bukan penyelesaian mudah, tetapi langkah perlu untuk menoktahkan kemelut berpanjangan. Ia adalah pelaporan masa nyata usaha kita membina asas perjawatan lebih adil, stabil dan bermaruah demi melindungi aset terpenting sistem kesihatan negara iaitu petugasnya,” katanya.

Bagi kluster keempat iaitu reformasi pembiayaan kesihatan, Dzulkefly berkata, matlamatnya adalah menjamin kelangsungan fiskal sistem kesihatan awam sambil memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti dan adil untuk semua.

Melalui kerangka RESET, beliau berkata, negara mula beralih daripada sekadar membayar kos rawatan kepada pembiayaan berasaskan nilai kesihatan dengan memastikan setiap ringgit dibelanjakan memberi pulangan kesihatan maksimum kepada rakyat.

Kluster kelima membabitkan reformasi kesihatan awam, keselamatan dan pencegahan. KKM mengambil pendekatan lebih tegas terhadap faktor risiko utama seperti pengambilan gula berlebihan, rokok dan gaya hidup sedentari.

“Langkah ini disokong penguatkuasaan undang-undang baharu, termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), serta agenda pencegahan nasional yang lebih menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, melangkah ke tahun 2026, Dzulkefly berkata, fokus KKM tertumpu kepada pengurusan bakat berasaskan data dan empati, usaha mengurangkan kesesakan, mengoptimumkan aset sedia ada serta pengukuhan kesihatan awam melalui pendigitalan menyeluruh.

“Fasa seterusnya menuntut disiplin pelaksanaan tinggi bagi mematangkan reformasi, khususnya mendepani cabaran negara menua dan risiko krisis kesihatan global,” katanya.

Menjelang era Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan amanah sebagai Pengerusi Persidangan Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) 2026, beliau berkata, iltizam KKM jelas untuk memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada hasil nyata serta membina sistem kesihatan yang bukan saja merawat tetapi peduli dan bersedia melindungi masa depan negara. – BERNAMA