Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 21 Disember – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan bahawa mesyuarat pengurusan sekolah bagi sesi baharu pembukaan persekolahan tahun 2026 hendaklah dilaksanakan secara ringkas dan terancang bagi memberi ruang kepada guru menggunakan cuti akhir tahun 2025 dengan sebaiknya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad berkata, mesyuarat pengurusan sekolah bagi tujuan tersebut perlu dilaksanakan hanya sehari sahaja, merangkumi perbincangan berkaitan bidang pengurusan, kurikulum, hal ehwal murid dan kokurikulum secara serentak.

Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan mengelakkan guru-guru terpaksa hadir ke sekolah selama beberapa hari semata-mata untuk mesyuarat, sekali gus membantu mereka merehatkan tubuh badan serta menyegarkan kembali emosi dan psikologi selepas sesi persekolahan 2025.

“Langkah ini diambil bagi menyokong kebajikan warga pendidik agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya cuti akhir tahun melalui aktiviti bersama keluarga, kunjung-mengunjung serta percutian,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Bagi tujuan pelaksanaan mesyuarat tersebut, KPM menetapkan tarikh mesyuarat mengikut kumpulan negeri. Bagi negeri Kumpulan A, mesyuarat pengurusan sekolah hendaklah diadakan antara 6 hingga 8 Januari 2026, manakala negeri Kumpulan B pula antara 7 hingga 9 Januari 2026.

KPM turut memaklumkan bahawa terdapat tugasan penting lain yang perlu dilaksanakan oleh pihak pengurusan sekolah selain mesyuarat berkenaan. Sehubungan itu, pihak sekolah diminta menyusun aktiviti-aktiviti penting tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan serta mengutamakan penyampaian maklumat secara dalam talian sekiranya perlu.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Azam merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga guru atas komitmen dan dedikasi mereka dalam membimbing serta mendidik murid sepanjang tahun 2025.

Beliau berharap agar para guru dapat kembali menjalankan tugas pada tahun 2026 dengan semangat baharu dan penuh amanah demi pembangunan pendidikan negara.-Berita RTM