KUALA KANGSAR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan pembabitan pegawainya dalam upacara ritual di gereja seperti dakwaan tular baru-baru ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata individu terbabit adalah seorang pendakwah namun bukan kakitangan JAKIM.
“Sebenarnya dia bukan pegawai JAKIM pun…. dia antara pendakwah,” katanya ringkas ditemui pada program Walkabout Ketua Pengarah JAKIM ke Tapak Projek Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI 2025 JAKIM sekitar Kampung Menora di Sekolah Kebangsaan (SK) Menora, di sini, hari ini.
Terdahulu, pengguna Facebook (FB) Ahmad Iqram Mohamad Noor yang juga pendakwah bebas memuatnaik beberapa hantaran mendedahkan mengenai beberapa individu bergelar ‘ustaz’ yang dikaitkan dengan JAKIM serta agensi agama negeri, menghadiri upacara berbaur pluralisme agama yang dianjurkan di gereja.
Ahmad Iqram menulis, bagi pihak geraja, program “Interfaith Water Ceremony” atau “Unity Water Ceremony” adalah simbolik penyatuan (unification) antara agama.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui kenyataan semalam (Jumaat) memaklumkan, kehadiran pegawainya ke program itu pada November 2018, bertujuan meraikan pasangan berkahwin yang membabitkan penyertaan pelbagai latar belakang bangsa dan agama.
Kenyataan melalui hantaran JHEAIPP itu juga mengesahkan bahawa program itu anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang, dengan kehadiran pegawainya ke program berkenaan adalah semata-mata untuk membaca doa khusus bagi meraikan pasangan Muslim yang hadir.
Interfaith Water Ceremony atau Unity Water Ceremonyadalah upacara berdoa bersama dengan pemimpin agama-agama lain yang menjadi agenda penting dalam ritual Gereja Unification.
Dalam upacara ini, pemimpin pelbagai agama akan menuangkan air ke dalam sebuah bekas (kebiasaannya mangkuk kaca) selepas bacaan doa atau ayat suci daripada setiap wakil agama, sebagai lambang kepelbagaian yang bertemu dalam satu kesatuan di bawah Tuhan.
Sementara itu, Sirajuddin berkata 22 projek fizikal dan bukan fizikal dilaksanakan bagi manfaat 700 komuniti penduduk Kampung Menora di sini sepanjang pemilihan kampung itu sebagai Kampung Angkat MADANI (KAM) JAKIM Tahun 2025.-BH Online
