Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, media kekal berfungsi sebagai tonggak penting kehidupan masyarakat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, media adalah penjaga integriti dan jambatan antara budaya, selain mempunyai peranan yang sukar diganti dalam memupuk masyarakat bermaklumat dan bersatu padu.

“Dalam memajukan visi Malaysia MADANI, media adalah rakan strategik mempromosi tadbir urus baik, ketelusan, perkongsian ilmu dan keharmonian sosial,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam rakaman ucapan yang diperdengarkan pada Persidangan Tahunan ke-58 Institut Akhbar Bahasa Cina Sedunia di Galeri Seni Lin Xiang Xiong, di sini, hari ini.

Persidangan dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.

Perdana Menteri menegaskan, tumpuan persidangan tahun ini terhadap inovasi media dalam era kecerdasan buatan (AI) amat bertepatan dengan perkembangan semasa.

“AI sedang membentuk semula cara maklumat dihasilkan dan dikongsi.

“Ia menawarkan peluang meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos.

“Pada masa sama, ia menuntut pandangan mendalam terhadap aspek etika, tanggungjawab, serta peranan media bahasa Cina dalam landskap teknologi yang berubah pantas,” katanya.

Dalam era data raya, janaan AI dan komunikasi tanpa sempadan, Anwar menegaskan, dunia memerlukan kewartawanan bertanggungjawab, naratif yang mengangkat kemanusiaan sejagat, serta komitmen lebih mendalam terhadap kebenaran, keadilan dan maruah.

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan media bahasa Cina di seluruh dunia bagi mengukuhkan jaringan maklumat serantau, memperdalam kefahaman budaya dan menyumbang ke arah komuniti global yang lebih bermaklumat,” katanya.

Acara dua hari itu dianjurkan oleh akhbar Cina berusia 115 tahun berpangkalan di Pulau Pinang, Kwong Wah Yit Poh, dan dihadiri lebih 80 pengamal media dari Malaysia, China, Taiwan, Hong Kong, Macau, Indonesia, Singapura, Filipina dan Kanada.

Anwar berkata, penubuhan Institut Akhbar Bahasa Cina Sedunia pada 1968 terus mempertahan kebebasan akhbar, memperkukuh piawaian profesional dan memupuk kerjasama dalam kalangan media bahasa Cina di seluruh dunia.

Dengan lebih 100 organisasi ahli, katanya, institut itu kini berdiri sebagai suara yang dihormati dan berpengaruh bagi akhbar Cina global.

Perdana Menteri turut mengiktiraf legasi Kwong Wah Yit Poh, sambil menyifatkannya sebagai antara akhbar Cina tertua masih bertahan di dunia, yang telah melalui era penjajahan, tempoh konflik, peralihan kepada pemerintahan sendiri, dan kini era digital.

Katanya, sejarah lebih seabad akhbar itu mencerminkan ketahanan, kewartawanan berprinsip dan komitmen teguh terhadap kejelasan serta suara hati.-BH Online