LANGKAWI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai jemaah solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di sini.
Ketibaan beliau bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail disambut Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; Pegawai Agama daerah, Syeikh Lokman Ishak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Ahmad Fuad Abd Ghani.
Anwar bersama jemaah kemudian mendengar khutbah bertajuk ‘Bahaya Aplikasi TikTok’ disampaikan Imam, Ismail Md Noor yang kemudian turut memimpin solat Jumaat. Kandungan khutbah antara lain menekankan bahaya aplikasi itu terhadap akidah, akhlak dan mental umat Islam tanpa mengira peringkat umur.
Ia antara lain turut mengingatkan, aplikasi itu boleh memberikan kebaikan apabila digunakan untuk mencari rezeki halal, sebaliknya mendatangkan keburukan jika digunakan untuk menipu, menyerang, menghina dan memprovokasi pihak lain.
Selepas solat, jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri yang kemudian meluangkan masa menjamu selera di sebuah restoran di Kampung Kelibang sambil beramah mesra dengan orang ramai.
Masjid Nur Al-Hidayah antara masjid tertua di Langkawi selepas dibina sekitar 1950-an. Kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara menjadi antara rutin Perdana pada setiap Jumaat sejak menerajui kerajaan pada November 2022.
Difahamkan, Perdana Menteri tiba di sini semalam dan dijangka berada di pulau peranginan ini sehingga esok.-BH Online
