Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi beberapa inisiatif strategik baharu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia dipersetujui susulan pertemuan dua hala beliau bersama Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohamed Mubarak Fadhel AlMazrouei di Abu Dhabi.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus memperkukuh perkongsian maklumat, pembangunan modal insan, kerjasama pertahanan serta pembangunan inisiatif baharu yang membawa manfaat bersama.

“Selain itu, Malaysia mencadangkan kolaborasi latihan pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di kapal kelas Gowind milik UAE sebagai sebahagian persediaan mengoperasikan kapal tempur pesisir (LCS) Malaysia yang menggunakan teknologi sama. 

“Cadangan ini disambut baik UAE dan akan diteliti lebih lanjut dari segi bentuk serta keperluan latihan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Mohamed Khaled kini berada di UAE bagi lawatan kerja selama dua hari, dengan turut serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan (MINDEF), Mohd Yani Daud; Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Setiausaha Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik MINDEF, Datuk Muhammad Ammir Haron.

Lawatan ini antara lain bertujuan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dan perkongsian ekonomi erat antara kedua-dua negara.

“Dalam pertemuan itu, saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan dan layanan mesra pihak UAE, di samping menekankan kepentingan untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan secara konsisten, selari dengan hubungan ekonomi dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan UAE.

“Pihak UAE turut mengiktiraf hubungan akrab Malaysia-UAE serta mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama dengan EDGE Group, sebuah konglomerat teknologi dan pertahanan milik Kerajaan UAE.

“Saya juga berpeluang membentangkan keupayaan negara dalam bidang semikonduktor dan komponen aeroangkasa, yang dilihat berpotensi untuk menyokong rantaian bekalan produk pertahanan EDGE Group pada masa hadapan,” katanya. 

Tambah Mohamed Khaled, semua usaha itu diharap terus menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan keamanan serantau dan sejagat, di samping mempererat lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE, khususnya dalam bidang pertahanan.-BH Online