PUTRAJAYA: Malaysia menjadi sebagai antara negara di dunia yang hampir menoktahkan kemiskinan tegar, hasil pelaksanaan dasar dan program berfokus rakyat bawah pentadbiran kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ketika ini, kadar kemiskinan tegar negara hanya tinggal 0.09 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan program bersifat inklusif dan menyeluruh yang dijalankan kerajaan, bagi memastikan tiada rakyat yang terpinggir dalam pembangunan negara.
Beliau berkata, semua program yang dilaksanakan seperti Kampung Angkat, Sekolah Angkat dan Sejati MADANI, dipantau Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet bagi memastikan tiada kelompok masyarakat di negara ini yang tersisih atau ketinggalan. “Malaysia diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar. Tidak (seperti) Amerika Syarikat, negara-negara Eropah yang masih tinggi jumlah rakyatnya terlantar di pinggir jalan.
“Malaysia bersyukur kerana kemiskinan tegar kini tinggal 0.09 peratus saja,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, di Dataran Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.
Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada KSN yang menyelenggarakan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, dari Jumaat hingga hari ini, yang memaparkan kejayaan inisiatif dijalankan kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun ini.
Beliau berkata, ketika ini juga, pertumbuhan suku ketiga negara berapa pada paras 52 peratus, antara yang tertinggi di rantau.
“Kita tahu prestasi ringgit yang tertinggi di Asia, kita tahu pelaburan yang meningkat besar mencecah peningkatan perdagangan, pelaburan yang tinggi, peningkatan perdagangan 44 peratus dengan nilai kumulatif RM2.335 trilion.
“Saudara, ini Malaysia, ini negara yang sederhana, negara dengan penduduknya sekitar 34.5 juta orang, tetapi kumulatif perdagangan, peningkatan perdagangan itu sekarang sudah mencecah RM2.235 trilion.
“Jadi mencatat keuntungan yang sangat mengagumkan dan membanggakan,” katanya.-BH Online
