Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 7 Disember – Kerajaan memperkukuhkan jaringan perlindungan sosial rakyat melalui penambahbaikan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, termasuk peningkatan kadar pampasan serta peluasan pelaksanaannya.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, skim berkenaan mula dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada 26 Disember lalu dengan peruntukan awal sebanyak RM20 juta.

Ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan MADANI bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025, beliau memaklumkan skim yang mula beroperasi sejak 1 Oktober 2025 hingga 30 September 2026 itu menyediakan perlindungan kepada rakyat berpendapatan rendah.

“Bagi SIKR 3.0, kadar pampasan ditingkatkan kepada RM13,500 bagi kematian semula jadi, RM26,500 untuk kematian akibat kemalangan dan RM13,500 bagi kecacatan kekal akibat kemalangan,” katanya.

Tambah beliau, peningkatan tersebut selaras dengan prinsip MADANI yang menekankan ihsan, kebertanggungjawaban dan perlindungan kepada rakyat daripada kejutan hidup yang boleh menjerumuskan mereka kembali ke kancah kemiskinan.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai antara KPICU, Jabatan Perdana Menteri dengan Prudential Technical Food sebagai rakan pelaksana skim itu, bagi memastikan pengurusan insurans lebih tersusun dan manfaatnya disalurkan kepada penerima tanpa karenah birokrasi.

“Perlindungan sosial tidak boleh dianggap sebagai perkara sampingan. Ia adalah jaminan asas untuk rakyat hidup lebih aman, selamat dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa skim insurans ini merupakan sebahagian daripada rangka strategi lebih besar kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, selain program bantuan tunai, pengukuhan pasaran kerja dan usaha menoktahkan kemiskinan tegar.-Berita RTM