KUCHING, 6 Disember – Program Nyamai Gastronomi Festival Sarawak kembali memeriahkan Kampung Budaya Sarawak (SCV) menerusi penganjuran selama dua hari yang menampilkan lebih 100 gerai makanan tradisional pelbagai etnik di negeri ini.
Program anjuran bersama rakan strategik itu bertujuan mempromosikan kepelbagaian warisan kulinari Sarawak, selain memperkenalkan SCV sebagai destinasi budaya kepada masyarakat dalam dan luar negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penglibatan pelajar amat digalakkan dengan penyediaan akses masuk percuma serta perkhidmatan bas bagi memudahkan pergerakan pengunjung.
“Pelajar kita galakkan datang beramai-ramai dan kita turut sediakan bas bagi memudahkan pergerakan mereka. Setakat ini lebih 5,000 pengunjung direkodkan dan kita sasarkan sehingga 14,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjuran,” katanya.
Antara tarikan utama festival itu ialah hidangan unik seperti pais telur ikan tenggiri dan ubur-ubur, selain pelbagai juadah tradisional Melayu, Cina, Bidayuh, Iban dan Orang Ulu yang turut dipamerkan.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bertindak segera membantu seorang wanita warga emas yang ditemui tinggal bersendirian di kawasan hutan selepas kematian anaknya enam hari sebelum kejadian.
“Wanita berkenaan yang turut mengalami masalah penglihatan kini ditempatkan di Rumah Seri Kenangan untuk pemeriksaan kesihatan dan penilaian lanjut. Setakat ini, tiada waris tampil untuk menuntutnya dan kita berpandangan lebih selamat beliau kekal di sana,” katanya.
Sehubungan itu, masyarakat khususnya ketua kampung disaran agar lebih peka terhadap keadaan penduduk setempat supaya bantuan dapat disalurkan lebih awal.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang warga emas buta yang nekad merangkak keluar dari kediamannya bagi mendapatkan bantuan di kawasan terpencil berhampiran Kampung Tambey, Kota Samarahan.-Berita RTM
