AYER KEROH: Kerajaan Melaka semalam membentangkan Bajet Negeri 2026 berjumlah RM528.8 juta bagi memastikan pengurusan fiskal kekal berdisiplin dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata jumlah berkenaan merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM528.8 juta, iaitu RM23.4 juta bagi Maksud Tanggungan dan RM505.4 juta bagi Maksud Bekalan.
Beliau berkata, bagi 2026, kerajaan negeri mengunjurkan anggaran hasil RM528.9 juta, sekali gus meneruskan momentum bajet lebihan seperti tahun sebelumnya.
Selain itu katanya, Perbelanjaan Pembangunan bagi tahun depan berjumlah RM93 juta, yang terdiri daripada RM56.6 juta daripada sumber hasil negeri, RM28.4 juta melalui Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Geran TAHAP), RM8 juta daripada Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) serta RM20 token daripada Akaun Pinjaman Disatukan.
“Anggaran hasil kerajaan negeri pula disumbangkan daripada Hasil Cukai berjumlah RM184.7 juta, Hasil Bukan Cukai RM295.7 juta serta Terimaan Bukan Hasil RM48.5 juta.
13 tumpuan utama
“Bajet Negeri Melaka 2026 bertemakan Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat itu digerakkan melalui tiga matlamat utama iaitu melestari pembangunan dan keberhasilan ekonomi; mensejahterakan rakyat melalui pembangunan modal insan serta memantapkan tadbir urus dan kecekapan pentadbiran.
“Pelaksanaan bajet itu diterjemahkan melalui ekosistem strategik dengan 13 tumpuan utama, merangkumi 11 portfolio EXCO Kerajaan Negeri serta perkhidmatan awam, selain berteraskan semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bagi mengutamakan kesejahteraan rakyat secara inklusif,” katanya.
Ab Rauf berkata, 204 inisiatif disediakan untuk tahun depan, meningkat berbanding 168 inisiatif pada tahun ini, menandakan komitmen kerajaan dalam memperluas manfaat kepada rakyat.
Sementara itu, selain itu, pemerkasaan syiar Islam turut menerima antara peruntukan terbesar dalam Bajet 2026 sebagai komitmen kerajaan dalam memperkukuh institusi agama di negeri ini.
Katanya, Bajet 2026 turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu dan manfaat langsung kepada rakyat.
“Buat julung kali, kerajaan mengumumkan sewaan premis kerajaan secara percuma selama satu bulan bagi membantu peniaga mengurangkan kos operasi.
“Serentak itu, golongan nelayan juga tidak diketepikan apabila kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi pembelian peralatan nelayan bagi meningkatkan produktiviti serta kelangsungan ekonomi komuniti itu,” katanya.-BH Online
