KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyatakan kebimbangan dengan isu kestabilan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, serta berharap konflik yang berlaku dapat diselesaikan melalui saluran diplomasi secara aman.
Beliau berkata, kestabilan rantau Asia Selatan adalah penting dan menggesa semua pihak mengelak ketegangan yang berpanjangan.
“Mengenai perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, saya menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau itu.
“Kita berharap semua pihak dapat mencari penyelesaian secara aman melalui dialog dan saluran diplomasi demi mengelak ketegangan berpanjangan,” katanya selepas mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, tengah hari tadi bagi bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan isu serantau.
Kenyataan itu disiarkan di laman Facebook beliau hari ini.
Anwar turut mengambil kesempatan dalam perbualan itu berkongsi situasi semasa banjir yang melanda Malaysia dan negara lain iaitu Indonesia serta Thailand.
Isu di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan khususnya membabitkan Garisan Durand, menjadi punca ketegangan yang berulang, terutama sejak kembalinya Taliban berkuasa di Kabul pada Ogos 2021.
Pakistan sering menuduh Afghanistan membenarkan kumpulan militan anti-Pakistan seperti Tehrik-i-Taliban Pakistan (TTP), beroperasi dari wilayahnya untuk melancarkan serangan.
Tuntutan berbeza ke atas sempadan dan insiden keganasan rentas sempadan mencetuskan pertempuran antara pasukan keselamatan kedua-dua negara, menyebabkan peningkatan dalam korban awam dan ketenteraan.
Walaupun rundingan gencatan senjata diadakan dengan pengantaraan negara luar seperti Qatar dan Turkiye, ketegangan masih tinggi.
Terdapat laporan rundingan damai baru-baru ini di Istanbul gagal mencapai penyelesaian konkrit dan pertempuran masih kembali bergolak.
Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik sejak 1957, yang ditingkatkan kepada Perkongsian Strategik pada Mac 2019.
Jumlah perdagangan kedua-dua negara terus kukuh, mencecah RM8.07 bilion pada 2024, peningkatan 25.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Lawatan rasmi Shehbaz ke Malaysia pada Oktober lalu adalah kunjungan balas kepada lawatan Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.
Lawatan itu mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi, perdagangan dan pelaburan, termasuk menerusi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) serta fokus baharu dalam bidang halal dan teknologi.-BH Online
