Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet merujuk Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen diputuskan dengan mengambil kira pandangan yang dibangkitkan ketika perbahasan di dalam Dewan Rakyat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan jawatankuasa itu susulan kenyataan Takiyuddin yang mengaitkan latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Masjid Rusila di Terengganu dengan peristiwa Memali di Baling, Kedah.

Katanya, langkah itu diambil selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. 

“Sejajar dengan keputusan itu, usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Saifuddin Nasution menegaskan, Kerajaan MADANI yakin jawatankuasa itu akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan kebebasan sesuai dengan mandat yang diberikan oleh Dewan Rakyat.

“Parlimen adalah institusi yang mulia serta berwibawa. Ia tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan menyebarkan fitnah atau tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk terus memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dan memastikan setiap isu ditangani secara berhemah serta berlandaskan prinsip demokrasi berparlimen.

Semalam, usul untuk menggantung Takiyuddin daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan, ditangguhkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan perkara itu ketika menggulung usul berkenaan.

Perbahasan usul itu membabitkan masing-masing dua wakil pembangkang dan kerajaan.

Selain Takiyuddin, tiga lagi pembahas membabitkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) yang juga Ketua Pembangkang, serta Suhaizan Kayat (PH-Pulai) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi).

Cadangan penggantungan itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat yang menyatakan Takiyuddin dalam ucapannya mengaitkan kejadian di Masjid Rusila dengan Peristiwa Memali pada 1985, serangan terhadap tempat ibadat dan percubaan untuk menakutkan rakyat.

Ucapan Takiyuddin yang juga Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) didakwa turut memberi imej negatif terhadap anggota dan imej Maritim Malaysia sebagai agensi dalam perkhidmatan awam.-BH Online