Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Kerja pembinaan di kawasan Putra Harmoni yang terjejas akibat letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada April lalu, belum dimulakan kerana masih terdapat pertikaian dan tindakan mahkamah oleh sebahagian penduduk, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Beliau menjelaskan, walaupun kerajaan sudah menyediakan dana serta menggerakkan jentera berkaitan bagi melaksanakan kerja baik pulih dan pembinaan semula, proses itu terhalang kerana beberapa kes masih tertangguh di mahkamah.

“Untuk penduduk di Putra Harmoni, ada yang bertanya kenapa ada lagi kerja belum mula. Ini kerana ada penduduk yang tidak bersetuju dengan bantuan kerajaan dan ada juga yang membawa perkara ini ke mahkamah.

“Oleh itu, walaupun dana sudah kami sediakan dan jentera sudah digerakkan, kes yang masih berjalan di mahkamah menghalang kita daripada membantu,” katanya dalam ucapan pada Program Sentuhan Kejayaan KPKT 2025 dan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mangsa Insiden Kebakaran Putra Heights di Kampung Sungai Baru, di sini hari ini.

Kor Ming berkata, kerajaan melantik Sime Darby Property untuk menguruskan kerja pembinaan semula di kawasan Putra Harmoni kerana syarikat itu adalah pemaju utama bagi Putra Heights serta mempunyai pelan bangunan, pelan induk, spesifikasi dan semua dokumen yang diperlukan. 

null

“Sebab itu kerja boleh dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya turut menggesa penduduk yang masih berbeza pendapat supaya lebih bertolak ansur demi mempercepatkan proses pemulihan.

Pada masa sama, Kor Ming berkata, beliau lega apabila sebahagian penduduk terjejas akibat insiden April lalu akhirnya menerima rumah baharu melalui usaha kerajaan dan sumbangan pelbagai pihak menerusi Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara.

“Saya datang hari ini dengan penuh kesyukuran. Jika bukan kerana Kerajaan MADANI dan semangat muafakat, saya tidak rasa penduduk yang terkesan akan dapat kunci rumah baharu. Mereka mungkin masih menyewa dan menanggung penderitaan.

“Dengan muafakat dan keazaman untuk membantu, kita berjaya mengumpul dana dan menubuhkan Tabung Amanah Bencana Perumahan Negara untuk membantu penduduk. 

“Jika dahulu, sekiranya banjir, kebakaran atau banjir, Pejabat Daerah hanya serah RM5,000 hingga RM10,000 sebagai pemberian secara ‘one-off’, tapi untuk masalah lain, penduduk akan tanggung sendiri kos. Dengan Kerajaan MADANI, buat pertama kalinya kita beri (bantuan bayaran) sewa, bantuan wang tunai, rumah yang rosak kita ganti semula atau bina semula,” katanya. 

Pada 18 Oktober lalu, sekumpulan 36 penduduk Taman Putra Harmoni memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Mahkamah Tinggi Shah Alam melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas.

Petronas Gas Bhd (PetGas), yang mengesahkan ia dinamakan sebagai defendan, memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa ia telah menerima writ saman dan pernyataan tuntutan dengan plaintif menuntut kira-kira RM68 juta sebagai ganti rugi.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, plaintif yang terdiri pemilik rumah, penghuni dan penyewa mendakwa kacau ganggu persendirian dan liabiliti dengan hujah bahawa PetGas membiarkan gas atau api terlepas dan merosakkan rumah berhampiran, sekali gus melanggar kewajipan statutori di bawah Akta Bekalan Gas 1993 serta Peraturan-Peraturan Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) (Pengangkutan Petroleum melalui Saluran Paip) 1985.

Mereka turut menamakan Hong & Hong Homes Sdn Bhd, Pinterest Ventures Sdn Bhd, MBSJ dan Kerajaan Persekutuan sebagai defendan bersama.-BH Online