KUALA LUMPUR: Nilai kerosakan infrastruktur yang dikesan setakat ini di seluruh negara akibat kedatangan monsun timur laut dianggarkan sebanyak RM327.8 juta, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM225.9 juta membabitkan kerosakan jalan berturap manakala RM47.4 juta lagi bagi jalan tidak berturap serta kawasan cerun (RM54.5 juta).
Katanya, setakat ini semua kerosakan aset awam termasuk jalan raya dan infrastruktur berkaitan dipantau oleh pusat operasi bencana kementerian yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Bencana atau ‘Big Ben’ yang beroperasi 24 jam.
“Jadi apabila perkara ini dilaporkan dan dimaklumkan, sudah tentu kita akan mengambil tindakan segera. Tindakan pertama ialah menyiasat jenis dan bentuk kerosakan, selepas itu, kita akan pastikan kita dapat menganggarkan berapa kos diperlukan untuk membaiki atau memulihkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini.
Ditanya sama ada peruntukan mencukupi bagi membaiki kerosakan yang dijangka terus meningkat itu, Nanta berkata setakat ini ia mencukupi, namun pihaknya akan memohon tambahan jika diperlukan.
“Buat masa ini memang masih ada. Tetapi kita tengoklah bagaimana keadaan monsun ini. Setakat ini nampaknya masih terkawal, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang lebih teruk dan kita berdoa supaya keadaan tidak bertambah buruk,” katanya.
Nanta berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini meluluskan sebanyak RM500 juta bagi membaiki infrastruktur awam tetapi ia bukan untuk kementeriannya semata-mata.
“Ia adalah untuk keseluruhan pengurusan bencana seperti yang diumumkan. Jadi sebahagian besarnya akan diselaraskan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya.-BH Online
