SINGAPURA, 4 Disember – Malaysia dan Singapura mencapai persefahaman penting dalam perbincangan berterusan mengenai Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkannya berkata, kedua-dua pihak bersetuju bahawa sebarang pengaturan atau susunan pada masa hadapan, mesti memastikan pergerakan penerbangan berjalan lancar tanpa halangan, dengan Malaysia memahami keperluan Singapura untuk aliran udara yang selamat dan efisien.
“Kita perlu memastikan aliran trafik udara ke Changi dan Seletar sentiasa selamat dan efisien, sebagaimana aliran yang teratur ke timur, termasuk Sabah dan Sarawak. Sebarang penyusunan semula tidak wajar menjejaskan pergerakan bebas trafik udara,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong selepas sesi Pemukiman Pemimpin Tahunan Ke-12 di sini.
Datuk Seri Anwar juga memaklumkan, rundingan berterusan di peringkat kepimpinan dan kementerian telah membawa kemajuan ketara dalam menyelesaikan isu yang telah lama tertangguh, termasuk beberapa isu sempadan maritim.
Malah, beliau turut menekankan hubungan unik Malaysia-Singapura perlu diperkukuh secara berterusan, bukan sahaja dari segi diplomasi, tetapi juga ekonomi, perdagangan, budaya, dan pendidikan.
Terdahulu Malaysia dan Singapura menandatangani Perjanjian Tambahan Laluan Transit Laju (RTS) Johor Bahru–Singapura, serta Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama memerangi sindiket pengedaran dadah dan kerjasama dalam bidang kesihatan.-Berita RTM
