Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menjangkakan bilangan jemaah haji negara akan bertambah pada masa depan berbanding kuota 31,600 yang diberikan Arab Saudi ketika ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata perkara itu dijangka dapat dicapai selepas selesainya projek kerajaan Arab Sudi dalam meluaskan Masjidil Haram.

Beliau berkata, Malaysia sudah memohon kuota tambahan itu dan kini ia bergantung kepada kerajaan Arab Saudi bagi proses kelulusannya.

“Kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 orang dipenuhi 100 peratus setiap tahun hasil penerimaan tawaran tahun semasa dan juga pembukaan permohonan rayuan dengan setiap kekosongan diganti serta-merta melalui sistem Tijari.

“Kita juga menyaksikan bahawa setelah adanya kerajaan Arab Saudi membesarkan dan memperluaskan lagi Masjidil Haram, kita jangkakan pada masa depan bilangan jemaah haji akan bertambah. 

null

“Namun begitu, ia masih bergantung kepada kuota haji termasuk kuota tambahan yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi,” katanya pada sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang mahu tahu langkah bagi meningkatkan jumlah jemaah bagi menerima tawaran Haji.

Pada masa sama, Zulkifli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memastikan kuota diberikan dipenuhi 100 peratus setiap tahun oleh jemaah. 

Zulkifli berkata, TH hanya merekodkan 18 peratus bakal jemaah haji yang menangguhkan atau menunda tawaran untuk menunaikan ibadat haji sehingga semalam.

Beliau berkata, ia menunjukkan keberkesanan strategi TH yang mengambil langkah proaktif dalam memastikan bakal jemaah bersedia bagi giliran musim haji.

Katanya, ia termasuklah mengeluarkan makluman peringatan awal melalui media, aplikasi Tijari, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada bakal haji.

“Ia bagi memastikan bakal jemaah bersedia lebih awal terutamanya dari aspek kemas kini rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri dan penambahan ilmu berkaitan fardu ain dan haji,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai).

Zulkifli berkata, dalam aspek penangguhan atau penundaan bakal haji menerima tawaran ibadat itu, 31 peratus disumbangkan faktor peribadi, kesihatan (20 peratus) dan kewangan (23 peratus).

Mengenai jumlah deposit direkodkan TH, sehingga 30 November lalu ia meningkat kepada RM93.35 bilion berbanding RM91.7 bilion pada 31 Disember tahun lalu.-BH Online