KUALA LUMPUR: Sejumlah 14,000 kes buli secara purata dilaporkan berlaku di sekolah setiap tahun, sekali gus menunjukkan institusi pendidikan itu menjadi lokasi utama insiden terbabit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, mendedahkan jumlah itu ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 bagi bacaan kali kedua, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam tempoh dua bulan sahaja iaitu sejak Ogos hingga Oktober merekodkan sebanyak 160 kes buli dengan 78 peratus mangsa terdiri kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.
“Secara keseluruhan, statistik termasuk melalui Sistem Sahsiah Diri Murid Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan sekolah adalah lokasi utama insiden buli dengan kanak-kanak adalah kumpulan yang paling terdedah.
“Apa yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa sekolah, tempat yang sepatutnya menjadi zon selamat, adalah lokasi utama berlakunya insiden buli. Terdapat ramai lagi kanak-kanak yang menderita dalam diam, tanpa laporan, tsuara dan perlindungan menyebabkan kerajaan mengambil tindakan segera.
“Atas dasar itu, bagi fasa pertama, penggunaan akta itu terpakai kepada kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah sebelum diperluaskan kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, melalui fasa kedua,” katanya.
Bacaan kali pertama RUU Antibuli 2025 dibentangkan Isnin lalu dengan penubuhan Tribunal Antibuli yang dicadangkan memberi kuasa kepada badan itu membuat suatu perintah atau ‘award’ bagi pembuli untuk membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 kepada mangsa perbuatan itu.
Pada masa sama, Azalina berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2022 oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 18.6 peratus remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa dengan risiko tiga kali ganda mengalami kemurungan atau kecenderungan mencederakan diri.-BH Online
