KUALA LUMPUR, 3 Disember – ASEAN disifatkan berada di ambang perubahan besar apabila rantau ini kini muncul sebagai antara 5 blok ekonomi terbesar dunia, dengan nilai mencecah AS$3.8 trilion serta populasi hampir 700 juta penduduk yang menjadi pemangkin inovasi serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kekuatan ASEAN bukan sekadar pada skala ekonominya, tetapi pada nilai kebersamaan serta komitmen terhadap dialog, kepercayaan dan kerjasama.
“Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, ASEAN membuktikan bahawa perpaduan dan perbualan kekal sebagai kekuatan terbesar kita. Cyberjaya Conversations Summit 2025 ini bukan acara sekali-sekala, tetapi platform berkekalan untuk idea dan aspirasi bersama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dekad akan datang harus diangkat sebagai “Dekad Inovasi ASEAN”, seiring Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI 2026–2035), yang bakal menjadi asas penting kepada pembangunan ekonomi serantau pada masa hadapan.
Jelas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, dalam ucapan pada perasmian Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025, inovasi kini bukan lagi satu sektor, sebaliknya merupakan mata wang baharu daya saing, dengan negara-negara ASEAN semakin meningkat dalam penarafan inovasi global, termasuk Malaysia di kedudukan ke-33 dunia.
Beliau berkata pembangunan inovasi tidak boleh bersifat eksklusif, sebaliknya mesti merangkumi seluruh rantau daripada kluster teknologi bandar hingga komuniti luar bandar.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri turut menekankan kepentingan diplomasi sains, khususnya dalam menangani isu rentas sempadan seperti perubahan iklim, keselamatan kesihatan, dan ketahanan makanan.
Tambahnya lagi , antara peluang masa depan paling besar adalah ekonomi angkasa, sektor global bernilai lebih AS$1 trilion, yang menurutnya memberi kelebihan unik kepada ASEAN dari sudut geografi, bakat serta infrastruktur digital.
“Dengan memanfaatkan teknologi satelit dan kecerdasan geospatial, ASEAN mampu melonjak mengatasi kekangan pembangunan tradisional. Ini bukan sekadar kemajuan teknologi, tetapi peningkatan kualiti hidup jutaan rakyat.
“Kekuatan sebenar ASEAN dalam menghadapi masa depan bergantung kepada kemampuan rantau ini mengintegrasikan ekosistem inovasi dengan penyelidikan, bakat, digitalisasi dan peraturan bergerak seiring, ” menurut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid.
Mengakhiri ucapannya, beliau menggesa para peserta untuk berfikir lebih berani, bekerjasama lebih rapat dan membina institusi baharu yang akan mencorakkan masa depan ASEAN.
Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang serta Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.-Berita RTM
