IPOH: Kerajaan Perak melalui Lembaga Air Perak (LAP) telah membelanjakan hampir RM32 juta bagi pelaksanaan inisiatif susbsidi air percuma dan pemberian rebat air setakat Oktober tahun ini, sebagai antara usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan B40.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata subsidi air percuma disalurkan kepada golongan miskin dan termiskin yang berdaftar serta menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada kadar 25 meter padu sebulan bersamaan dengan RM20.40.
“Jika penggunaan air berada di bawah kadar tersebut, tiada bayaran dikenakan. Selain itu, rebat bil air sebanyak RM4 sebulan turut diberikan kepada semua pengguna akaun domestik di negeri Perak,” katanya dalam sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan daripada Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) yang ingin tahu strategi kerajaan negeri untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial yang lebih bersasar dalam Belanjawan 2026 susulan kajian Institut Darul Ridzuan menunjukkan keperluan makanan, perumahan dan bil utiliti menjadi beban utama rakyat Perak.
Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri sentiasa menilai keperluan semasa termasuk menambah baik bantuan mengikut keperluan khusus masyarakat B40 di bandar dan luar bandar, bagaimanapun perkara itu tertakluk kepada kedudukan kewangan negeri serta komitmen dasar semasa.
“Dalam masa yang sama, kerajaan negeri komited memastikan hasil negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Perak, dengan penekanan terhadap penyelarasan antara jabatan dengan agensi pelaksana supaya agihan bantuan dilakukan dengan adil, tidak bertindih dan tepat kepada kumpulan sasaran,” katanya.
Beliau berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk peningkatan Bantuan Am JKM kepada RM500 sebulan, pelaksanaan Kad Perak Sejahtera, Program Bantuan Kotak Makanan, Kedai Bergerak Negeri Perak, Jualan Rahmah dan Program Bas Perak Sejahtera yang diteruskan dalam Belanjawan 2026.
“Inisiatif itu melalui peningkatan peruntukan Bantuan Am JKM daripada RM31 juta kepada RM37 juta, Kad Perak Sejahtera daripada RM24 juta kepada RM24.5 juta, serta Program Bantuan Kotak Makanan daripada RM5 juta kepada RM6 juta.
“Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan peruntukan baharu bagi Program Sayangi Rumahku sebanyak RM3 juta sebagai dana pusingan di bawah Yayasan Perak untuk membantu keperluan perumahan rakyat,” katanya. –BERNAMA
