KUALA LUMPUR: Ribut Tropika Senyar dilaporkan sudah tiada di Malaysia, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip.
“Boleh kata dah mati. Kesannya yang tinggal cuma hujan sahaja,” katanya kepada BH.
Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan, ribut itu mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah malam tadi, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65 kilometer sejam (km/j).
Sementara itu, MetMalaysia petang ini mengeluarkan nasihat berkaitan Lekukan Tropika yang dikesan pada jam 11 pagi ini di latitut 4.0 utara dan longitud 10.4.0 timur.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, Lekukan Tropika itu bergerak ke arah timur Semenanjung dengan kelajuan lima km/j dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.
“Jarak lekukan tropika itu dari bandar terdekat adalah kira-kira 81 kilometer ke timur laut Kuantan, Pahang.
“Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.
Mohd Hisham berkata, lekukan tropika baharu itu dikesan di perairan luar Kuantan dan memberi impak di kawasan pesisir pantai antara Pahang dan Terengganu.
Namun, jelasnya, lekukan berkenaan dijangka bergerak menjauhi Malaysia dan kesannya tidak seteruk Ribut Tropika Senyar.
Sebelum ini, MetMalaysia melaporkan, ribut itu mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah malam tadi, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65 kilometer sejam (km/j).
Pada sidang media semalam, Mohd Hisham dilaporkan berkata, Ribut Tropika Senyar mula memasuki ruang udara negara sejak jam 3 petang semalam dan dijangka mencetus impak hujan lebat berterusan bermula tengah malam tadi.
Beliau dilaporkan berkata antara negeri yang dijangka menerima impak ribut ialah Perak, Selangor dan sebahagian kawasan di Pahang.
Katanya, ribut tropika itu mula memberi kesan di Indonesia sejak 3.30 petang tadi sebelum memasuki Semenanjung dan bergerak menuju Laut China Selatan.-BH Online
