KUALA LUMPUR: Majlis Himpunan Agensi Hal Ehwal Agama (MAHEA) 2025 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, kelmarin menjadi platform penyatuan, pemerkasaan nilai dan pemantapan strategi selaras Transformasi al-Falah dan Malaysia MADANI.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata majlis itu bukan sekadar perhimpunan rutin sebaliknya menggambarkan komitmen bersama memantapkan agenda pembangunan ummah dan syiar Islam di Malaysia.
Katanya, dengan kehadiran lebih 800 warga kerja daripada pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ia simbol kesatuan dan kekuatan ekosistem Hal Ehwal Agama menuju 2026.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas komitmen berterusan memperkukuh agenda pembangunan ummah melalui peningkatan peruntukan Hal Ehwal Agama kepada RM2.6 bilion dalam Belanjawan MADANI 2026.
“Peningkatan ini membuktikan kepercayaan tinggi kerajaan terhadap JPM-HEA sebagai peneraju utama agenda pembangunan Islam di Malaysia.
“Terima kasih juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Institut kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan semua urus setia atas kejayaan penganjuran MAHEA 2025 serta kepada warga kerja yang hadir memeriahkan himpunan ini,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Pada majlis itu, Mohd Na’im turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi dan warga kerja yang berjaya meraih anugerah di peringkat nasional serta antarabangsa hasil inovasi perkhidmatan, kreativiti serta keberkesanan penyampaian.
Angkat imej JPM-HEA
Pencapaian itu mengangkat imej JPM-HEA sekali gus membuktikan keupayaan sektor Hal Ehwal Islam bersaing dalam ekosistem reformasi perkhidmatan awam.
Pada majlis sama, Mohd Na’im turut melancarkan Skuad Ihsan MADANI JPM-HEA iaitu pasukan sukarelawan merentas agensi yang akan digerakkan untuk membantu mangsa bencana terutama menjelang Monsun Timur Laut.
Beliau turut mencadangkan supaya Tabung Musa’adah Bencana JAKIM-YWM diaktifkan bagi mengumpul sumbangan orang ramai dan menyelaras bantuan kepada kawasan terjejas.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku Islam Mekar Bersama Malaysia MADANI, dokumentasi komprehensif pencapaian tiga tahun Transformasi Al-Falah hasil kerjasama semua agensi Hal Ehwal Agama, diterbitkan dengan kerjasama IKIM.
Buku ini mampu diangkat untuk menangkis persepsi bahawa Islam dalam keadaan terancam, sebaliknya membuktikan bahawa syiar Islam terus subur dan menjadi tunjang pembangunan negara.-BH Online
