Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH, 26 November – Kerajaan Perak melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) terus mempergiat pelaksanaan program pemantapan akidah dan bimbingan kepada saudara baharu terutamanya kepada masyarakat orang asli.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata pendekatan dakwah secara inklusif, khidmat kaunseling serta bantuan sokongan seperti skim sewa rumah dan bina rumah turut disediakan bagi membantu mualaf yang masih tinggal bersama keluarga bukan Islam.

“Bagi Mualaf yang tinggal bersama keluarga bukan Islam, pendekatan kaunseling dan sokongan emosi turut diberikan agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan akidah tanpa menjejaskan hubungan kekeluargaan.

“MAIPk juga menyediakan skim bantuan sewa rumah dan bina rumah sekiranya perlu atau sesuai untuk dilaksanakan”, katanya demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Behrang, Salina Samsudin mengenai tindakan dan perancangan kerajaan negeri terhadap mualaf orang asli yang masih tinggal dalam keluarga berlainan agama.

Jelas Saarani, JAKIM dan MAIPk turut bekerjasama melantik lebih 200 tenaga penggerak termasuk Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA), pendakwah dan guru takmir bagi memastikan usaha dakwah dan pemantauan akidah dapat dijalankan secara berterusan di perkampungan orang asli.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan, beliau memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan pembinaan surau di kampung-kampung Orang Asli dan mengalu-alukan pelaksanaan ibadah korban di kawasan berkenaan melalui kerjasama wakil rakyat serta kerajaan negeri.-Berita RTM