Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengukuhan kawalan keselamatan di pintu masuk negara merangkumi penstrukturan semula agensi, pembaharuan aset pengimbasan, peningkatan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta penekanan terhadap integriti dan kompetensi pegawai barisan hadapan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) menyaksikan fungsi pemeriksaan pintu masuk kini diambil alih secara berfasa oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) termasuk pemindahan mesin pengimbas dan perjawatan dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia bermula 1 Oktober lalu.

Katanya, usaha ini bagi memastikan kawalan sempadan dilakukan secara bersepadu di bawah satu agensi tunggal selain bermatlamat mengurangkan pertindihan tugas dan meningkatkan keberkesanan operasi.

“Sebahagian mesin pengimbas yang digunakan sudah usang dan kini proses penilaian komprehensif sedang dilaksanakan yang bukan saja mengambil kira aspek teknikal tetapi meliputi kos penyelenggaraan, keberkesanan operasi serta sokongan selepas jualan.

“Susulan itu, teknologi dari Amerika Syarikat (AS), Jerman, China, United Kingdom dan Jepun antara yang sedang diteliti bagi memastikan nilai terbaik kepada negara,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

null

Beliau menjawab soalan Dr Mohammed Taufiq Johari(PH-Sungai Petani) mengenai penambahbaikan dalam kawalan pemeriksaan kastam terhadap bagasi di semua lapangan terbang, sama ada antarabangsa atau domestik dan pemantauan berkala untuk memastikan kecekapan pegawai pemeriksa bagi memastikan isu penyeludupan dapat ditangkis dengan rapi.

Sehubungan itu, Shamsul Anuar berkata, dalam proses ini, teknologi terkini di pasaran antarabangsa seperti digunakan syarikat dari AS yang telah membangunkan pengimbas tenaga tinggi untuk kontena besar, selain pengeluar dari Jerman terkenal dengan sistem CT Scan beresolusi tinggi bagi bagasi penumpang. 

“Syarikat dari China pula menghasilkan mesin pengimbas mudah alih yang diguna di pintu masuk darat, pengeluar dari United Kingdom, Jepun juga mempunyai kepakaran dalam teknologi pengesan radiasi.

null

“Dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan, kerajaan juga memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi pintar dan automasi termasuk mesin pengimbas berasaskan AI.

“Penggunaan teknologi ini yang mampu menganalisis imej secara automatik untuk mengesan objek terlarang seperti dadah, senjata dan wang tunai,” katanya. 

Katanya, pelaksanaan pengisytiharan elektronik serta integrasi data antara sistem imigresen dan kastam turut dinilai untuk memperkukuh keupayaan risikan.

Mengenai isu penumpang awam menjadi mangsa sindiket penyeludupan tanpa sedar, Shamsul Anuar mendedahkan satu kes direkodkan sejak AKPS mengambil alih pemeriksaan. 

“Dalam kejadian di Lapangan Terbang Bayan Lepas, empat suspek ditahan setelah cuba menyeludup 86 kilogram dadah bernilai RM8.3 juta menggunakan teknik penukaran bagasi, manipulasi bantuan lapangan terbang dan serahan barang saat akhir,” katanya. 

Katanya, AKPS kini memberi penekanan kepada saringan tingkah laku dan psikologi, termasuk analisis kegusaran, perubahan nada suara, eye contact, jawapan bercanggah dan pergerakan mencurigakan. 

“Profil risiko digital, rekod perjalanan dan data tiket turut digabungkan bagi mengesan anomali,” katanya.-BH Online