Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Penghapusan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu dari Kenya akan menurunkan kos makanan, khususnya daging bagi pengguna di Malaysia, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata kos daging lembu di Malaysia terlalu tinggi dan penghapusan tarif dari negara seperti Kenya boleh membantu menurunkan harga.

“Saya tidak melihat ini sebagai masalah kerana ia akan memberi manfaat kepada pengguna.

“Kita memperluas pasaran dan memudahkan import daging lembu tanpa menambah kos. Ini akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Apabila ditanya sama ada keputusan ini akan menjejaskan petani tempatan dan keselamatan makanan di Malaysia, Anwar berkata itu tidak akan berlaku.

Beliau menegaskan bahawa perlindungan terhadap petani tidak harus dilakukan dengan mengorbankan pengguna.

“Kita mempertahankan petani jika harga adalah munasabah… kita sudah pun mengimport daging lembu.

“Jadi, mengapa hanya dapatkan dari negara terpilih dan menyukarkan negara lain yang kurang berjaya secara ekonomi untuk menjual hasil mereka?

“Selagi prosedur dan parameter dipatuhi, tiada sebab mengapa kita harus membezakan negara-negara yang lebih miskin,” katanya.

Berhubung impak kewangan daripada penghapusan tarif, Anwar berkata ia adalah sangat minimum.

Dilaporkan bahawa Malaysia bersetuju untuk menghapuskan tarif ke atas pertanian dan daging lembu.

Presiden Kenya, William Samoei Ruto, menggambarkannya sebagai satu langkah penting yang akan membuka peluang pasaran baharu bagi petani Kenya dan mengukuhkan asas komersial perkongsian kedua-dua negara.

Eksport utama Kenya ke Malaysia termasuk teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu, manakala eksport Malaysia ke Kenya terdiri daripada minyak dan lemak boleh makan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian dan getah.

Anwar, yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Kenya, berkata parameter umum dan pelaksanaan keputusan yang dibuat di Nairobi boleh dimuktamadkan sebelum lawatan Ruto ke Malaysia tahun depan.

Lawatan beliau ke Kenya adalah lawatan pertama oleh seorang Perdana Menteri Malaysia dalam hampir dua dekad, selepas lawatan mendiang Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2007.

Anwar, berkata Putrajaya berharap untuk meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Kenya ke tahap perkongsian strategik yang merangkumi semua bidang, termasuk import pertanian tradisional serta teknologi baharu.

Beliau, berkata Kenya berada di landasan yang tepat untuk menjadi salah satu bintang di Afrika dan Malaysia perlu berada di posisi baik dalam perkongsian dengan negara itu.

Kenya adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika pada 2024. Jumlah perdagangan antara Januari dan Ogos mencapai RM3.7 bilion, menunjukkan peningkatan kukuh sebanyak 22.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit membentuk 89.9 peratus (RM3.67 bilion) daripada jumlah perdagangan bagi tempoh berkenaan.

Kenya mempunyai populasi kira-kira 58 juta dan mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$107.441 bilion pada 2024.-BH Online