Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Seramai 5,293 guru memilih untuk bersara awal secara pilihan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 2021 hingga 2024.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata jumlah itu adalah 1.24 peratus daripada keseluruhan bilangan pengisian guru di Kementerian Pendidikan (KPM).

“Berdasarkan data KPM, sebanyak 67.44 peratus guru yang memohon persaraan awal menyatakan tidak lagi berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai sebab utama. 

“Masalah keluarga mencatatkan 17.43 peratus, diikuti masalah kesihatan sebanyak 7.69 peratus, beban tugas 5.37 peratus dan masalah peribadi 2.07 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Fadhlina menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang ingin mengetahui sebab utama guru-guru memilih untuk bersara lebih awal dan beban memerlukan guru-guru mengisikan data-data prestasi murid-murid serta beban pentadbiran yang lain.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM komited menangani isu kekurangan berkenaan melalui pelbagai langkah segera dan berterusan, khususnya dalam konteks pengisian guru di sekolah rendah dan menengah seluruh negara, bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak terjejas.

“Sehingga 22 September lalu seramai 10,045 orang guru baharu sudah ditempatkan di sekolah KPM. 

“Terkini, KPM sedang melaksanakan penempatan guru baharu dari pasaran terbuka dan graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) seramai 10,096 orang yang akan ditempatkan pada November ini.

“Ia akan menjadikan jumlah guru yang sudah dan akan ditempatkan pada tahun ini seramai 20,141 orang,” katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah panjang bagi menjamin pengisian guru pada masa akan datang, KPM melalui IPG pada tahun 2025 sudah membuat ambilan calon PISMP sebanyak 11,000 orang berbanding 6,300 orang calon pada tahun 2024.

“Sinergi antara Kementerian turut dipertingkatkan. KPM bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menubuhkan Sekretariat Bersama pada Mac lalu bagi memperkukuh kerjasama strategik untuk mengakhiri masalah kekurangan guru.

“Dalam masa yang sama, pengambilan guru tetap dilaksanakan dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka permohonan sepanjang tahun bagi mempercepat proses pengambilan dan penempatan,” katanya.

Jelasnya, KPM turut memperluas laluan ikhtisas melalui Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) dan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) bagi membolehkan individu bukan daripada bidang pendidikan menyertai profesion keguruan. 

“Pelbagai inisiatif pembangunan profesionalisme berterusan dilaksanakan, termasuk pemantapan pendidikan digital.

“Bagi mengurangkan beban tugas guru, KPM sudah melaksanakan 7 Langkah Segera Kesejahteraan Guru sejak 2023 yang memberi fokus kepada pedagogi, pentaksiran, pengoperasian sekolah, dan pengurusan pentadbiran,” katanya.

Katanya, KPM juga menghapuskan tugas bukan akademik yang tiada punca kuasa sah melalui Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) serta memperkenalkan deskripsi tugas yang jelas. 

“Inisiatif MySTEP turut dilaksanakan bagi menempatkan Pembantu Guru di sekolah.

“KPM memanfaatkan teknologi melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) dan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) untuk mengurangkan pengisian data berulang. 

“Pelantar DELIMa pula menyediakan aplikasi AI, bahan PdP digital, dan latihan kejurulatihan bagi menyokong guru secara lebih efektif dan kreatif,” katanya.-BH Online