BAGAN DATUK: Kementerian Kesihatan tidak berhasrat memperkenalkan program khusus untuk kesihatan bakal jemaah haji walaupun terdapat syarat baharu ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian sudah melaksanakan pemeriksaan dan saringan kesihatan rutin setiap tahun bagi jemaah haji.
“Semua keperluan berkaitan kesihatan jemaah haji sudah lama menjadi amalan standard kementerian serta agensi terbabit bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan terbaik sebelum berangkat ke Tanah Suci.
“Kami akan terus menyediakan penjagaan kesihatan awal melalui saringan berkala, kerana ia penting.
“Malaysia sudah mengamalkan pendekatan kesihatan yang mencukupi untuk bakal jemaah haji dan kita akan terus meningkatkan tahap penjagaan sebelum mereka berlepas,” katanya.
Dr Dzulkefly berkata demikian selepas menghadiri acara larian di Jambatan Sultan Nazrin Shah. Pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ditanya sama ada KKM menyediakan program khusus bagi memastikan jemaah benar-benar sihat, beliau berkata, saringan dijalankan sehingga saat akhir, dengan usaha penambahbaikan diteruskan.
“Kami menjalankan saringan membabitkan penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah berat badan. Ini adalah pemeriksaan rutin dan kami akan memperkukuhkannya,” katanya.
Beliau turut memaklumkan saringan merangkumi jemaah berkeperluan khas termasuk pengguna kerusi roda, bagi memastikan mereka mampu menunaikan ibadah haji.
“Walaupun tanpa peruntukan khas, setiap jemaah berhak menunaikan haji dan kita menyediakan kemudahan sewajarnya untuk menyokong mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid mengingatkan bakal jemaah mematuhi peraturan ditetapkan Tabung Haji (TH).
“Bukan saja soal kesihatan, tetapi juga kewangan mencukupi untuk menunaikan haji. Bagi saya, akal yang cerdas hadir daripada tubuh yang sihat,” katanya.
Mulai 21 Oktober lalu, bakal jemaah haji mesti bebas daripada penyakit berjangkit serta penyakit kronik yang serius atau tidak terkawal bagi melayakkan mereka menerima visa haji bermula tahun depan.
Syarat baharu itu diumumkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi musim haji 1447H / 2026M, termasuk penamatan operasi Pusat Rawatan Tabung Haji di Tanah Suci.-BH Online
