KUALA LUMPUR: Sindiket dadah menggunakan pelbagai modus operandi bagi menyeludup dadah ke negara ini termasuk menjadikan pulau tidak berpenghuni sebagai lokasi transit bekalan.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata sindiket dadah ini menggunakan kaedah ‘drop point’ iaitu meninggalkan dadah di lokasi tertentu untuk diambil individu lain sebelum diedarkan.
Beliau berkata, modus operandi ini turut merangkumi tindakan meninggalkan dadah di pulau-pulau yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
“Selain itu, sindiket menggunakan kontena bermuatan kargo seperti buah-buahan dan sayuran dari negara jiran bagi mengaburi mata pihak berkuasa namun taktik itu berjaya dikesan JKDM.
“Dalam tempoh 10 bulan tahun ini setakat Oktober, pihaknya merekodkan 594 kes dadah dengan rampasan mencecah RM459.30 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anis berkata, sindiket penyeludupan dadah turut menggunakan pelbagai modus operandi seperti perkhidmatan kurier yang menggunakan nama dan alamat palsu untuk penghantaran parcel.
“Selain itu, kita juga mengesan penyeludupan melalui pintu masuk sempadan negara dengan menggunakan individu yang membawa kenderaan. Sindiket penyeludupan menggunakan ‘keldai dadah’ atau individu tertentu yang menyeludup menggunakan bagasi yang disimpan dalam kenderaan.
“Terdapat juga taktik menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan mewujudkan ruangan khas bagi menyembunyikan dadah,” katanya.
Beliau berkata, penyeludupan menggunakan kontena yang bermuatan kargo seperti buah-buahan, sayuran dan makanan basah dari negara jiran dikesan dengan cara menyelitkan dadah bersama-sama komoditi berkenaan.
“Langkah tegas diambil JKDM dalam usaha mengekang penyeludupan dadah ialah menerusi operasi Joint Task Force (JTF) bersama Indonesia yang berlangsung dari 1 hingga 31 Julai lalu di Sabah dan Sarawak dengan nilai rampasan sebanyak RM39.22 juta.
“Kita juga melaksanakan rutin pemeriksaan di pintu keluar masuk negara oleh pegawai yang bertugas di kawasan sempadan.
“Kawalan kawasan perairan negara juga dilaksanakan secara berkala dengan memfokuskan kawasan hotspot selain rondaan rutin oleh Unit Marin JKDM,” katanya.
Katanya, penggunaan Anjing Pengesan Dadah (APD) JKDM turut ditambah baik menerusi penambahan aset berkenaan dan juga latihan berterusan selain ‘intelligence driven’ ditingkatkan di mana pegawai-pegawai risikan digerakkan untuk mendapatkan maklumat berkaitan penyeludupan.
“JKDM terus memperkukuh peranan sebagai agensi barisan hadapan dalam mempertahankan keselamatan negara khususnya dalam memerangi kegiatan penyeludupan dadah.
“Ini sekali gus mencerminkan keupayaan operasi yang teguh, kepakaran anggota serta keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dilaksanakan,” katanya.-BH Online
