Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam dunia apabila mencatat pencapaian memberangsangkan, termasuk menguasai hampir 45 peratus pasaran sukuk global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata Malaysia turut memiliki pasaran modal Islam bernilai RM2.63 trilion, iaitu 62 peratus daripada keseluruhan pasaran modal negara.

Katanya, kejayaan itu turut disokong sektor perbankan Islam yang kini menyumbang 46.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pembiayaan negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai rujukan utama transformasi kewangan Islam moden.

“Pencapaian ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti kekuatan institusi, dasar jelas dan komitmen jitu Malaysia dalam membangunkan ekosistem kewangan Islam yang berdaya saing dan berwibawa.

“Ia adalah lambang kepimpinan Malaysia yang konsisten berteraskan dasar kukuh, bakat bertaraf dunia dan komitmen politik yang teguh,” katanya ketika merasmikan Muzakarah Penasihat Syariah Kewangan Islam KLIFF Kali Ke-18 di sini, hari ini.

Mohd Na’im berkata, Malaysia bukan sekadar mengikuti arus global tetapi membentuk arus tersebut melalui inovasi produk, kekuatan tadbir urus serta komitmen terhadap prinsip Maqasid al-Shariah.

Katanya, pencapaian negara juga perlu dilihat dalam kerangka tanggungjawab lebih besar, iaitu memastikan manfaat kewangan Islam memberi nilai kepada masyarakat dengan menekankan keadilan, kemampanan serta kesejahteraan sosial.

Pada masa sama, katanya Malaysia terus menerajui pasaran sukuk dunia termasuk bagi sektor lestari melalui terbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bernilai RM34.5 bilion, selaras dengan agenda kelestarian dan ekonomi hijau.

“Pencapaian Malaysia amat membanggakan di mana 46.6 peratus pembiayaan negara datang daripada perbankan Islam, pasaran modal Islam bernilai RM2.63 trilion, dan kita terus mendominasi hampir 45 peratus pasaran sukuk global,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, perubahan global adalah peluang emas untuk memperbaharui kewangan Islam agar lebih dinamik dan inklusif dan ia tidak wajar dilihat sebagai satu ancaman.

Katanya, kemajuan kecerdasan buatan (AI), blockchain dan teknologi kewangan membuka ruang inovasi yang lebih telus dan cekap.

“Dalam era keprihatinan terhadap kelestarian, kewangan Islam berpotensi memimpin melalui sukuk hijau, sukuk iklim dan pembiayaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menyatukan prinsip keadilan, keseimbangan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Mohd Na’im berkata, masa depan menuntut modal insan berilmu, berakhlak dan berpandangan global yang menggabungkan fiqh muamalat, ekonomi moden dan teknologi digital. 

“Fokus ekonomi dunia semakin beralih ke Timur di mana ASEAN dan Asia muncul sebagai jentera pertumbuhan global. 

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memacu inisiatif memperluas sukuk rentas sempadan, menyelaraskan piawaian syariah, memperkukuh kewangan hijau serta mengintegrasikan ekosistem halal dan kewangan Islam di seluruh rantau.

“Kepada rakan dan pelabur antarabangsa, Malaysia sentiasa terbuka dan mesra pelabur. Kami menawarkan ketelusan, keyakinan dan kestabilan,” katanya.-BH Online