Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TUARAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membaik pulih serta membina baharu 100 unit rumah di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS), tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata ia sebagai simbol komitmen Kerajaan Persekutuan dalam usaha memperkukuhkan kesejahteraan perumahan desa di Sabah.

Ahmad Zahid memaklumkan sepanjang 2025, Sabah telah menerima peruntukan RM136.02 juta bawah PPRS membabitkan 852 unit bina baharu dan 2,729 unit baik pulih.

“Daripada jumlah itu, Parlimen Tuaran menerima RM6.591 juta bagi 43 unit bina baharu dan 123 unit baik pulih,” katanya ketika berucap melancarkan Program Sentuhan Kasih Desa @ Tuaran di Pusat Latihan RELA di sini, malam ini.

Mengenai Sentuhan Kasih Desa, Ahmad Zahid berkata, ia adalah inisiatif pemerkasaan ekonomi usahawan luar bandar KKDW melalui promosi jualan usahawan, akses khidmat sokongan dan pendedahan peluang pasaran lebih luas.

Katanya, kementerian telah memainkan peranan signifikan dalam mentransformasi pembangunan luar bandar di seluruh negara, khususnya Sabah, ke arah lebih maju melalui peruntukan besar oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dalam Belanjawan 2026, Sabah mendapat peruntukan besar berbanding negeri lain kerana Kerajaan Persekutuan melalui KKDW dan kementerian lain amat prihatin terhadap negeri ini sebab masalah Sabah mesti diselesaikan,” katanya.

Pada program itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan cek replika kepada wakil penerima geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar bernilai RM1.521 juta yang memberi manfaat kepada 288 usahawan di Sabah bagi tempoh 2023 hingga 31 Oktober 2025.

Ia bertujuan meningkatkan kapasiti, penjenamaan dan kebolehpasaran produk tempatan, sekali gus memperkasakan daya saing usahawan.-BH Online