KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan peranan aktif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berhubung isu sempadan kedua-dua negara.
Perdana Menteri berkata, beliau telah membincangkan perkembangan terkini isu sempadan antara dua negara berjiran itu, dengan Trump melalui panggilan telefon, semalam.
Beliau turut menzahirkan kesediaan Thailand dan Kemboja untuk terus memilih ruang dialog serta usaha diplomatik sebagai jalan penyelesaian yang ampuh.
“Saya menegaskan kedua-dua negara telah mengundurkan ketumbukan tentera dari sempadan, seiring dengan pendekatan yang telah disepakati bawah kerangka Perjanjian Damai Kuala Lumpur.
“Lantaran itu, saya mengalu-alukan peranan aktif Presiden Trump yang telah turut menghubungi Perdana Menteri Kemboja dan Thailand demi memastikan apa jua perbezaan ditangani dengan tertib, demi menjamin kestabilan serta keharmonian serantau,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi.
Pada Isnin lalu, media antarabangsa melaporkan Panglima Angkatan Tentera Thailand mengumumkan penggantungan semua perjanjian dengan Kemboja berikutan letupan periuk api di sempadan, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan selepas pertempuran pada Julai.
Empat askar Thailand dilaporkan cedera apabila periuk api jenis PMN-2 meletup ketika rondaan di wilayah Sisaket, dengan seorang mangsa kehilangan kaki kanan.
Perjanjian Damai Kuala Lumpur telah ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dengan disaksikan oleh Anwar serta Trump di luar Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, Oktober lalu.
Terdahulu dalam hantaran berasingan melalui Facebook, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang adil serta bertanggungjawab, terutama dalam membantu Thailand dan Kemboja mencapai penyelesaian berkekalan berkaitan isu sempadan antara kedua-dua negara itu.
Anwar berkata, Malaysia komited dan tegas dalam aspek membabitkan keamanan serantau yang seterusnya menyumbang kepada pengukuhan kestabilan di rantau Asia Tenggara.
Katanya, beliau telah berhubung dengan Manet, semalam, untuk menilai perkembangan terkini isu itu.
“Dalam perbincangan itu, saya menghargai setulusnya pendekatan matang diambil pihak Kemboja yang terus memilih jalan damai serta memberi keutamaan kepada penyelesaian melalui perundingan dan dialog yang sihat.
“Malaysia tentunya mendukung penuh pendirian Kemboja untuk menggunakan saluran telah disepakati bersama sebelum ini dan menyemangati Perjanjian Damai Kuala Lumpur bertarikh 26 Oktober 2025 sebagai landasan bagi menamatkan pertikaian yang berlarutan,” katanya.
Anwar berkata, prinsip berkenaan penting bagi memastikan sebarang perbezaan didepani dengan tenang, tersusun dan berasaskan persefahaman serantau.
Sementara itu, Manet dalam catatan Facebook beliau, semalam, menyatakan terima kasih kepada Anwar kerana terus memainkan peranan penting dan aktif dalam memudahkan serta mencari penyelesaian secara aman antara Kemboja dengan Thailand.-BH Online
