KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menegaskan laluan memasuki Jalan Genting Highlands adalah bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kementeriannya mengambil maklum mengenai isu yang sedang menjadi perhatian itu dan memahami kebimbangan orang ramai.
“Berdasarkan semakan awal KKR serta maklumat yang diterima, laluan yang dimaksudkan bukan Jalan Persekutuan, sebaliknya terletak di atas tanah milikan persendirian.
“Bagaimanapun, aspek keselamatan, standard teknikal dan pematuhan kawal selia bagi mana-mana laluan seperti ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Pahang melalui Majlis Perbandaran Bentong.
“Buat masa ini, KKR tidak mempunyai kuasa perundangan atau regulatori ke atas laluan berkenaan,”katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan Genting Malaysia Bhd mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai bayaran bagi jalan persendirian ini (Caj Jalan Persendirian) tersedia.
Genting Malaysia menegaskan bayaran bagi menggunakan jalan persendirian itu adalah perlu memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer dan cerunnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat itu sejak tahun 1960-an.-BH Online
