KUALA LUMPUR, 13 November– Kerajaan MADANI terus memperkukuh pembangunan sukan negara secara menyeluruh dan inklusif melalui pelbagai inisiatif baharu.
Inisiatif baharu tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) Bil. 2 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tambahnya, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada persiapan kontinjen negara ke Sukan SEA dan Sukan Para 2025 termasuk memperkukuh aspek mental dan motivasi atlet melalui kursus bersama Akademi Kenegaraan Malaysia.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid selaku Pengerusi JKPS memaklumkan pihaknya juga meluluskan pelaksanaan Program Ujian Kecergasan Nasional OKU sebagai mekanisme rasmi saringan kecergasan bagi calon Orang Kurang Upaya (OKU) yang memohon berkhidmat dalam sektor awam.
“Selain itu, mesyuarat bersetuju menubuhkan Pusat Kecemerlangan Sukan Orang Asli hasil kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan SMK Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Pahang diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan pertama,” kata kenyataan itu.
Kerajaan turut mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menaja tiket pelajar dan OKU ke Kejohanan MotoGP di Sepang tahun depan, selain mencadangkan acara itu dimasukkan ke dalam kalendar Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sebagai tarikan utama pelancongan sukan negara.
Mesyuarat turut mengambil maklum pencapaian cemerlang atlet negara dalam pelbagai disiplin sukan, termasuk e-sukan dan badminton, yang membuktikan keberkesanan perancangan serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan pembangunan sukan tanah air.-Berita RTM
