Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 ajaran sesat sudah diwarta sesat dan dikesan masih aktif setakat September lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam masa sama, katanya, sebanyak 35 tangkapan berkaitan ajaran sesat dan meragukan sudah dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.

“Sehingga September 2025, mengambil kira jumlah ajaran sesat yang sudah diwartakan dan aktif setakat ini yang direkodkan adalah sebanyak 25,” katanya menerusi jawapan lisan di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) bertanyakan jumlah ajaran sesat yang sudah diwartakan dan jumlah tangkapan bagi tahun ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan sejak 1950 hingga 2023, sebanyak 154 ajaran sudah difatwakan sesat di seluruh negara. 

Di Selangor saja mencatatkan sebanyak 45 ajaran sesat dan khurafat yang sudah difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar, dimana sebahagiannya dikesan masih aktif bergerak secara tersembunyi di beberapa daerah seperti Gombak, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam kes terbaru semalam, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) turut menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan ‘Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi’ kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan ajaran sesat.

Pengarah JAIP, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, mereka ditahan hasil serbuan di bekas gudang perabot yang dijadikan tempat tinggal di Kampung Sungai Putat, di Pulau Tawar, Jerantut, jam 2.30 petang kelmarin.-BH Online