KUALA LUMPUR: Inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah dijangka menyumbang RM24.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setiap tahun, selain menarik purata RM12.5 bilion pelaburan yang diluluskan serta mewujudkan 5,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun.
Menerusi inisiatif itu, Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri serantau yang menyepadukan kekuatan Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata inisiatif itu akan mengukuhkan ekosistem industri negara melalui rantaian bekalan lebih mendalam, peningkatan produktiviti serta pembangunan perusahaan tempatan supaya mampu bersaing di peringkat global.
Beliau berkata, Wilayah Tengah memiliki rangkaian kukuh pembekal, logistik, makmal ujian, institusi pengajian tinggi dan rakan inovasi, namun usaha kini tertumpu kepada menghubungkan semua aset itu, menutup jurang kritikal dan memastikan sokongan kerajaan memberi hasil yang jelas.
“Kita mahu melihat lebih ramai vendor berkualiti, pelaburan yang lebih pantas diluluskan, penerimagunaan teknologi yang lebih meluas serta penjajaran lebih baik antara bakat dan keperluan industri,” katanya berucap pada Seminar Pelaburan Flagship: Inisiatif Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah di sini, hari ini.
Seminar dua hari bermula hari ini dihadiri lebih 800 pemimpin industri, pembuat dasar, komuniti perniagaan dan pelabur yang berhimpun di bawah tema ‘Menginovasi Industri, Menghubungkan Pasaran’.
Ia menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Menurut Tengku Zafrul, pembangunan kluster Wilayah Tengah akan memberi tumpuan awal kepada sektor yang mempunyai kelebihan sedia ada di Malaysia dan berpotensi untuk berkembang cepat, seperti elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal dan produk perubatan serta pemprosesan makanan dan ekonomi halal.
“Koridor KLIA–Subang–Serendah adalah contoh terbaik pengelompokan industri atau ‘clustering’ boleh mempercepatkan pertumbuhan.
“Dengan jarak hanya 50 kilometer, komponen dapat digerakkan dengan lebih cepat, pembangunan bakat dipertingkat dan perkongsian idea berlaku dengan lebih pantas, sekali gus mengurangkan masa pengeluaran dan risiko perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, elemen sokongan pelbagai guna seperti kejuruteraan ketepatan, automasi, metrologi dan sains bahan turut meningkatkan produktiviti bukan sahaja dalam aeroangkasa, tetapi juga dalam kluster E&E, farmaseutikal dan makanan.
Selain itu, tiga kerangka utama negara iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) juga bersatu di Wilayah Tengah.
Tengku Zafrul menjelaskan, sebuah syarikat boleh memperluas pengeluaran E&E dengan sokongan NSS, meningkatkan automasi dan kemahiran di bawah NIMP 2030, serta mengurangkan intensiti tenaga melalui pembiayaan sejajar GIS. – BH Online
