Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai lebih 260,000 kilometer (km) jaringan jalan raya yang diiktiraf antara paling baik disenggara di rantau ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia hasil komitmen berterusan Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi di bawah dasar kementerian yang progresif.

Antara contoh terdekat, katanya foto konvoi kenderaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggunakan lebuh raya di Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di baru-baru ini yang tular sehingga menarik pujian meluas terhadap kelancaran, kebersihan dan keindahan infrastruktur negara.

Beliau berkata, hantaran ringkas dimuat naik Setiausaha Akhbar Presiden AS itu yang ditonton jutaan orang mengingatkan dunia dan juga kita sendiri, bahawa Malaysia telah membina sesuatu yang luar biasa.

“Ia mengingatkan kita bahawa kerja keras, inovasi dan disiplin kita dalam pembangunan infrastruktur bukanlah tidak diketahui masyarakat antarabangsa. Namun yang lebih penting, ia menjadi dorongan untuk kita terus memperbaiki pencapaian ini.

“Kita berbangga dengan apa yang telah kita capai, tetapi pada masa sama kita juga perlu berani untuk berfikir semula, melakukan pembaharuan dan memperkukuh usaha sedia ada.

“Ini kerana penyelenggaraan bukan sekadar mengenai jalan raya, tetapi juga melibatkan maruah negara, keselamatan, serta kesiapsiagaan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan dan Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini. 

Nanta Linggi, turut berkongsi kejayaan platform MyJalan sebagai satu inisiatif keterlibatan rakyat yang membolehkan orang awam melaporkan kerosakan jalan bagi tindakan segera.

“MyJalan bukan sekadar aplikasi aduan, tetapi simbol budaya tanggungjawab bersama. 

“Ia mencerminkan pendekatan ‘seluruh negara’ yang menekankan data, ketelusan dan semangat sivik bagi memperkukuh ekosistem penyelenggaraan dari lebuh raya hingga ke jalan kampung,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menetapkan tiga keutamaan strategik bagi tempoh 10 tahun akan datang sebagai asas pembentukan ekosistem penyelenggaraan jalan raya moden berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan data masa nyata.

Ia memfokuskan penggunaan AI dan analitik data melalui Integrasi Digital; penggunaan teknologi dan bahan hijau selaras komitmen Malaysia terhadap pembangunan rendah menerusi Kejuruteraan Mampan dan Inovasi Kolaboratif.

Tiga keutamaan strategik ditetapkan KKR

“Ketiga-tiga keutamaan ini sejajar usaha mempercepat pelaksanaan Rangka Tindakan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) Nasional 2030 yang menumpukan kepada penggunaan teknologi pintar, pemantauan data secara langsung serta penyelesaian penyelenggaraan berasaskan AI bagi memastikan jaringan infrastruktur negara kekal selamat, cekap dan berdaya tahan.

“Teknologi bukan lagi alat kemudahan, tetapi asas kepada ketahanan yang membolehkan kita mengesan kelemahan sebelum berlaku kegagalan, mengurus aset sebelum rosak dan merancang infrastruktur yang menyesuaikan diri dengan keperluan masa depan,” katanya.

Mengenai My-ARTTE 2025, katanya ia dianjurkan bersempena tahun Malaysia memegang kerusi Pengerusi ASEAN dan amat signifikan kerana memperlihatkan komitmen negara untuk menerajui transformasi serantau berasaskan teknologi dan inovasi dalam sektor infrastruktur.

“Kekuatan Malaysia bukan hanya pada jalan yang telah kita bina, tetapi pada keberanian untuk berinovasi, disiplin untuk menyelenggara dan tekad untuk memimpin,” katanya.

My-ARTTE 2025 mengetengahkan inovasi terkini dalam pembinaan dan penyelenggaraan jalan, teknologi pembinaan, sistem pengurusan trafik dan penyelesaian kejuruteraan moden.

Persidangan ini disertai hampir 500 peserta profesional tempatan selain dari Thailand, Filipina, Korea, Jerman dan beberapa negara lain di rantau ini.-BH Online